KUALA LUMPUR: Ekspo Taiwan akan kembali ke Malaysia selepas pandemik COVID-19 dan dijangka menjana AS$48 juta (AS$1 = RM4.65) dalam peluang perniagaan.

Dianjurkan oleh Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA), organisasi penggalak perdagangan bukan bermotifkan keuntungan Taiwan, ekspo tiga hari yang bermula pada 24 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu akan menampilkan 220 reruai yang mempamerkan produk inovatif dan berdaya saing tinggi daripada 170 syarikat Taiwan.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, TAITRA berkata, lebih 1,080 pertemuan perniagaan dua hala telah dijadualkan.

Ekspo Taiwan, yang kini masuk tahun ketujuh ia diadakan, akan memfokuskan kepada lima tema utama: Industri 4.0, Perubatan Pintar, Halal, Ekonomi Kitaran dan Gaya Hidup Pintar.

TAITRA berkata pameran tahun ini akan diadakan di dua dewan pameran, menonjolkan semangat dan kehebatan Taiwan dalam penyelidikan dan pembangunan.

"Pameran itu termasuk YouBike yang terkenal, lambang inisiatif bandar pintar Taiwan, kini menampilkan versi 2.0 basikal bantuan elektriknya.

"Pavilion Penjagaan Kesihatan Taiwan menyatukan institusi penjagaan kesihatan terkemuka di Taiwan dan penyedia perkhidmatan kecantikan perubatan terkemuka, diketuai oleh Pengerusi Persatuan Pembedahan Plastik Estetik Taiwan yang berdedikasi untuk mempromosikan gaya hidup premium dan sihat," katanya.

Selain itu, TAITRA berkata Pavilion Sifar Bersih memfokuskan tenaga boleh diperbaharui, peralatan hijau, dan kehidupan bandar pintar, yang memberikan bayangan bandar-bandar masa depan.

"Sebagai tindak balas kepada gelombang kecerdasan buatan, Pavilion Perdagangan Digital memperkenalkan sistem perkongsian komuniti platform sosial termaju dan teknologi inovatif seperti 'Smart Baby Bib,' yang menonjolkan kepakaran Taiwan dalam estetika teknologi," katanya.

Kemasukan adalah percuma untuk pelawat, dan pameran dibuka dari 10 pagi hingga 6 petang.

-- BERNAMA