Skip to main content

Politik

PRN Melaka: BN perlu tumpu usaha menangi 21 kerusi - Zambry

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir (tengah) ketika hadir pada Perasmian Pusat Kecemerlangan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Excellence Pangkor anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) di Kolej Komuniti Manjung, Pulau Pangkor hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir (tengah) ketika hadir pada Perasmian Pusat Kecemerlangan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Excellence Pangkor anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) di Kolej Komuniti Manjung, Pulau Pangkor hari ini. - Foto BERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • BN menekankan keutamaan memastikan kemenangan di 21 kerusi yang diperuntukkan pada PRN Melaka ke-16, mengatasi perbezaan pandangan pembahagian kerusi.
  • MCA menegaskan tidak akan mengiktiraf calon tanpa persetujuan kepimpinan tertinggi, susulan isu pengumuman calon tanpa rundingan.
  • SPR menetapkan 31 Oktober hari penamaan calon, 10 November pengundian awal, dan 14 November hari pengundian PRN Melaka ke-16.

LUMUT: Semua pihak dalam Barisan Nasional (BN) perlu mengutamakan usaha memastikan kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, berbanding berlarutan dalam perbezaan pandangan mengenai pembahagian kerusi.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata semua pihak perlu memberikan tumpuan kepada usaha memastikan kemenangan di 21 kerusi yang diperuntukkan kepada gabungan itu, selaras keputusan yang dipersetujui bersama.

“Kita sebenarnya percaya dalam semangat perbincangan. Biasalah kalau dalam suasana waktu untuk pemilihan calon dan sebagainya, mana-mana pihak pun ada pandangan tertentu.

“Apa pun keputusan yang dibuat, yang paling mustahak untuk diberikan tumpuan adalah kemenangan kepada 21 kerusi yang ditandingi oleh BN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kecemerlangan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Excellence Pangkor di Kolej Komuniti Manjung, Pulau Pangkor dekat sini hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan MCA tidak akan mengiktiraf mana-mana calon parti itu yang diumumkan BN bagi PRN Melaka ke-16 tanpa mendapat persetujuan kepimpinan tertinggi.

Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata tindakan mengumumkan calon tanpa rundingan dan persetujuan MCA tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila kerusi yang sebelum ini ditandingi MCA didakwa diberikan kepada parti lain.

Media sebelum ini melaporkan Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan rundingan persefahaman politik dengan PAS telah dimuktamadkan, dengan BN akan bertanding di 21 kerusi manakala tujuh lagi diperuntukkan kepada PAS dan rakan politiknya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Okt sebagai hari penamaan calon, 10 Nov bagi pengundian awal dan 14 Nov hari pengundian PRN Melaka ke-16.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement