Skip to main content
Advertisement

Bisnes

Eksport makanan laut Jepun ke Malaysia melonjak 40 peratus

Hirano semasa berucap pada acara Japanese Seafood B2B Trade Meeting Event, di Kuala Lumpur, semalam. --fotoBERNAMA
Hirano semasa berucap pada acara Japanese Seafood B2B Trade Meeting Event, di Kuala Lumpur, semalam. --fotoBERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • Eksport makanan laut Jepun ke Malaysia meningkat sekitar 40 peratus kepada lima bilion yen antara Januari hingga Ogos 2026 berbanding tahun sebelumnya.
  • Peningkatan didorong permintaan terhadap produk premium, minat terhadap masakan Jepun, dan kuasa beli pengguna yang semakin meningkat.
  • JETRO akan terus menyokong perusahaan Jepun melalui pameran, program padanan perniagaan, dan acara rangkaian untuk memperkukuh akses pasaran di Malaysia.

KUALA LUMPUR: Eksport makanan laut Jepun ke Malaysia meningkat kira-kira 40 peratus dalam tempoh lapan bulan pertama 2026, didorong oleh permintaan kukuh terhadap produk premium serta semakin ramai pengguna yang mula menggemari masakan Jepun.

Naib presiden eksekutif Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) Kenichi Hirano berkata nilai eksport makanan laut mencecah kira-kira lima bilion yen (100 yen = RM2.60) antara Januari hingga Ogos tahun ini, berbanding tempoh yang sama pada 2025.

Beliau berkata pertumbuhan tersebut disokong oleh peningkatan kuasa beli pengguna, minat yang semakin meluas terhadap produk makanan berkualiti tinggi serta semakin ramai rakyat Malaysia yang telah biasa dengan budaya masakan Jepun.

“Antara Januari dan Ogos 2026, eksport makanan laut Jepun ke Malaysia meningkat kira-kira 40 peratus kepada sekitar lima bilion yen berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya semasa berucap pada acara Japanese Seafood B2B Trade Meeting Event, di sini, semalam.

Hirano berkata Malaysia kekal sebagai antara pasaran paling berpotensi di ASEAN bagi eksport makanan Jepun, disokong oleh minat pengguna yang tinggi terhadap budaya makanan Jepun serta peningkatan bilangan rakyat negara ini yang berkunjung ke negara Matahari Terbit itu.

Acara tersebut menghimpunkan pengedar tempatan produk makanan laut Jepun serta pengendali perkhidmatan makanan, sekali gus menyediakan platform untuk padanan perniagaan dan peluang menjalin perangkaian. 

Hirano berkata JETRO menjangkakan peluang pertumbuhan seterusnya bagi produk makanan laut Jepun melangkaui restoran Jepun, khususnya dalam kalangan pelbagai pengendali perkhidmatan makanan yang meluas di Malaysia.

“Malaysia menonjol dalam kalangan pasaran ASEAN kerana minat pengguna yang tinggi terhadap makanan dan budaya Jepun,” katanya kepada Bernama di luar acara tersebut.

Bagi memperkukuh akses pasaran, JETRO akan terus menyokong perusahaan kecil dan sederhana Jepun dengan membantu mereka menyertai pameran berkaitan makanan, program padanan perniagaan, serta acara rangkaian yang menghubungkan pembekal Jepun dengan pembeli Malaysia.

Hirano berkata nilai mata wang yen Jepun yang lebih lemah boleh meningkatkan daya saing harga produk makanan Jepun di luar negara, walaupun kadar pertukaran hanyalah salah satu faktor yang mempengaruhi keputusan pembelian.

Katanya, kualiti produk, keselamatan, keaslian, rasa, dan prestasi dalam penyediaan hidangan terus menjadi pertimbangan utama bagi pengendali perkhidmatan makanan mahupun pengguna runcit.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement