Ringkasan AI
- Laporan BMI menjangkakan Afrika Selatan dan Asia Tenggara akan mengalami peningkatan risiko kemarau, cuaca panas dan gangguan bekalan tenaga akibat El Niño pada 2026-2027.
- Fenomena El Niño dijangka menjejaskan pengeluaran pertanian seperti beras, gula, minyak sawit dan kopi, serta menjejaskan kira-kira 90 juta penduduk di Asia Tenggara.
- Negara yang bergantung kepada tenaga hidro seperti Zambia dan Zimbabwe berisiko tinggi menghadapi catuan elektrik, manakala Malaysia, Thailand dan Indonesia berdepan risiko kekurangan bekalan semasa permintaan memuncak.
KUALA LUMPUR: Afrika Selatan dan Asia Tenggara dijangka menghadapi peningkatan paling ketara dalam risiko kemarau, cuaca panas dan bekalan tenaga susulan fenomena El Niño pada 2026-2027, menurut laporan BMI, sebuah syarikat di bawah Fitch Solutions.
Laporan itu memaklumkan fenomena cuaca El Niño berkemungkinan besar meningkatkan risiko kemarau di kawasan tanaman pertanian, terutamanya di Afrika Selatan, Amerika Tengah, utara Amerika Selatan dan Asia Tenggara, sekali gus mengancam pengeluaran jagung, beras, gula, minyak sawit dan kopi.
“Semasa fenomena El Niño sebelum ini, kawasan tanaman pertanian yang terdedah kepada kemarau berintensiti tinggi meningkat secara purata 11 hingga 12 mata peratusan di seluruh rantau berkenaan, dengan Zambia, Zimbabwe, Koridor Kering Amerika Tengah, Filipina, Thailand, Guyana dan Suriname antara kawasan yang paling teruk terjejas.
“Di Asia Tenggara, kemarau mengancam pengeluaran beras, gula di Thailand, minyak sawit di Indonesia dan Malaysia serta kopi robusta di Vietnam. Rantau ini juga berdepan kesan populasi yang paling besar, dengan kira-kira 90 juta orang terdedah kepada kemarau dalam kejadian El Niño sebelum ini,” menurutnya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, BMI memaklumkan El Niño menimbulkan risiko kemarau paling tinggi terhadap penjanaan kuasa hidro di Afrika Selatan, diikuti Mexico dan Amerika Tengah, selari dengan corak yang serupa dengan apa yang berlaku dalam sektor pertanian.
“Dalam peristiwa El Niño sebelum ini, kapasiti penjanaan kuasa hidro yang terdedah kepada kemarau berintensiti tinggi meningkat secara purata kira-kira 19 mata peratusan di Afrika Selatan, terutamanya di Zambia dan Zimbabwe, serta kira-kira 12 mata peratusan di Mexico dan Amerika Tengah.
“Asia Tenggara, Caribbean dan utara Amerika Selatan turut berdepan risiko yang lebih tinggi, dengan Filipina, Thailand, Malaysia, Republik Dominika, Venezuela dan Colombia antara negara yang paling terdedah,” tambahnya.
BMI memaklumkan kekurangan bekalan elektrik berkemungkinan besar berlaku di negara yang bergantung pada tenaga hidro sebagai sumber utama penjanaan elektrik, dengan Zambia dan Zimbabwe berdepan risiko tinggi untuk mencatu elektrik, mengimport elektrik pada harga yang tinggi dan tekanan terhadap kedudukan kewangan syarikat utiliti pada musim itu.
“Mexico, Thailand, Filipina, Malaysia, Afrika Selatan dan Indonesia turut berdepan peningkatan risiko yang ketara. Tetapi memandangkan tenaga hidro menyumbang kurang daripada 20 peratus penjanaan elektrik di negara-negara itu, kesannya lebih cenderung menyebabkan kekurangan bekalan ketika permintaan memuncak dan bukannya kekurangan bekalan elektrik secara menyeluruh,” tambah kenyataan itu.
-- BERNAMA