Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Lenggong sasar rekod Asia, himpun 500 pemuzik dalam satu persembahan

Shamsul Anuar bercakap pada sidang media mengenai MegaJamz Lenggong Valley Musical Festival sempena Lenggong International Dialogue 2026 di Kuala Lumpur semalam. --fotoBERNAMA
Shamsul Anuar bercakap pada sidang media mengenai MegaJamz Lenggong Valley Musical Festival sempena Lenggong International Dialogue 2026 di Kuala Lumpur semalam. --fotoBERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 500 pemuzik bakal bergabung dalam satu persembahan berskala besar menerusi MegaJamz Lenggong Music Festival 2026 pada 29 Nov ini, dengan sasaran mencipta rekod baharu dalam Asian Book of Records, sekali gus mengangkat Lenggong sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Pengerusi Majlis Pelancongan Lenggong merangkap Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata festival yang julung kali diadakan itu disasarkan menjadi platform unik untuk memperkenalkan keindahan alam semula jadi serta keistimewaan warisan Lenggong kepada khalayak lebih luas menerusi muzik.

Beliau berkata festival yang akan diadakan di Resort Tasik Raban, Lenggong, Perak itu adalah acara kemuncak bersempena dengan Lenggong International Dialogue (LID) yang menghimpunkan lebih 500 peserta dari 16 negara.

“Kami bukan hanya memperdengarkan muzik, tapi kami nak hidangkan keindahan, kecantikan dan keunikan yang ada di kawasan double-crown UNESCO ini supaya dengan muzik ini, ia akan tersebar ke seluruh dunia dan akhirnya mengundang kehadiran serta meningkatkan kegiatan ekonomi rakyat setempat,” katanya pada sidang media pengumuman festival berkenaan di sini semalam.

Shamsul Anuar berkata penganjuran festival itu bukan sahaja menyasarkan rekod dalam Asian Book of Records, malah berpotensi memperkukuh kedudukan Lenggong sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan gabungan pengalaman muzik, keindahan alam dan warisan dunia.

Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan turut mempunyai status Lenggong UNESCO Global Geopark, sekali gus menjadi antara tarikan utama yang ingin diketengahkan menerusi penganjuran festival berkenaan.

Shamsul Anuar, yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata pemuzik terkenal Jo Branko akan membuat penampilan khas dalam persembahan muzik serentak itu, dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Antara agensi terlibat ialah Jabatan Pendaftaran Negara, Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Festival yang bermula pada 4 petang itu menyasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 10,000 pengunjung dengan kemasukan percuma.

“Kami harap bila program ini dilaksanakan dan berjaya, kami akan jadikan ia acara tahunan... supaya acara ini dinanti-nantikan oleh peminat muzik di Malaysia dan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Jo Branko mengakui teruja untuk beraksi pada festival berkenaan meskipun mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dengan penglibatan dalam hampir 3,500 persembahan konsert.

​“Saya rasa idea menghimpunkan 500 pemuzik ini memang satu idea yang sukar dilakukan. Saya harap benda ini akan jadi satu acara tahunan untuk Lenggong, Perak,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement