Ringkasan AI
- Lufthansa Airlines melancarkan semula penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Frankfurt selepas hampir sedekad, beroperasi lima kali seminggu sepanjang tahun.
- Perkhidmatan ini dijangka mengukuhkan hubungan udara Malaysia-Jerman, menyokong pelancongan, perniagaan, dan pertukaran rakyat kedua-dua negara.
- Malaysia menerima 42.2 juta pengunjung tahun lalu, dengan pasaran Eropah menyumbang 1.18 juta pengunjung dalam lapan bulan pertama 2026.
SEPANG: Lufthansa Airlines pada Isnin melancarkan semula perkhidmatan penerbangan terus yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Frankfurt, Jerman, sekali gus mengembalikan hubungan udara berkenaan selepas hampir sedekad.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata perkhidmatan itu akan mengukuhkan kesalinghubungan udara Malaysia dengan Jerman serta pasaran Eropah secara meluas selain dapat mewujudkan lebih banyak peluang untuk tujuan pelancongan, perniagaan serta pertukaran membabitkan rakyat kedua-dua negara.
“Hubungan udara baharu ini diperkenalkan pada masa yang tepat ketika Malaysia giat melaksanakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027.
“Hubungan udara yang kukuh dan serta dipercayai merupakan asas penting dalam usaha menarik lebih ramai pelawat antarabangsa selain memastikan Malaysia kekal mudah diakses dan berdaya saing di peringkat pasaran pelancongan global,” katanya ketika berucap pada majlis meraikan ketibaan penerbangan pertama Lufthansa dari Frankfurt ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya, Chiew Choon Man.
Majlis itu turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd Datuk Mohd Izani Ghani serta Naib Presiden Kanan Jualan Global Lufthansa Group Frank Naeve.
Tiong berkata perkhidmatan udara baharu Lufthansa yang beroperasi lima kali seminggu sepanjang tahun itu akan menawarkan kemudahan serta pilihan untuk pelancong dan pengembara selain memperkukuh kedudukan KLIA sebagai pintu masuk utama yang menghubungan Asia Tenggara dengan Eropah.
Beliau berkata Malaysia telah menerima sebanyak 42.2 juta pengunjung pada tahun lepas -- meningkat 11.16 peratus daripada 2025.
Sehubungan itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berharap dapat memanfaatkan momentum positif itu dengan mengukuhkan kehadiran negara di pasaran Eropah, menggalakkan penginapan lebih lama dan mewujudkan lebih banyak peluang untuk industri pelancongan.
Tiong berkata pasaran Eropah kekal menjadi penyumbang utama kepada sektor pelancongan negara dengan 1.18 juta pengunjung daripada rantau itu bagi tempoh lapan bulan pertama 2026, peningkatkan sebanyak 1.2 peratus daripada 1.16 juta untuk tempoh sama tahun lepas.
“Malaysia dihubungkan dengan pasaran Eropah menerusi 57 penerbangan seminggu dan kapasiti 16,914 tempat duduk seminggu. Kesalinghubungan yang kukuh ini menyediakan asas kukuh untuk terus mengembangkan pasaran Eropah dan menarik lebih ramai pengunjung ke Malaysia.
“Menerusi kehadiran 700 syarikat Jerman yang beroperasi di Malaysia, penerbangan terus ini akan memudah cara jaringan perniagaan lebih kukuh serta pertukaran membabitkan rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, sebanyak 116,824 pengunjung Jerman melawat Malaysia.
Sementara itu, Mohd Izani berkata kehadiran semula Lufthansa ke KLIA akan meningkatkan akses terhadap Malaysia dari bandar-bandar yang melangkaui jaringan penerbangan terus.
“Bagi perniagaan, sokongan ini hanya merapatkan lagi hubungan dengan pelanggan dan pelabur. Bagi industri pelancongan, ini membuka peluang untuk menarik pengunjung dari pasaran Eropah yang lebih luas.
“Inilah yang sedang kita usahakan iaitu perkhidmatan yang berdaya maju dari segi komersial, mampu memperkukuh daya saing KLIA dan memberikan nilai jangka panjang kepada ekonomi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan berasingan, Naeve berkata penumpang bagi perjalanan Kuala Lumpur dan Frankfurt akan menikmati produk penerbangan jarak jauh terbaharu Lufthansa menerusi penggunaan pesawat Boeing 787-9 Dreamliner, antara pesawat paling moden dan cekap dalam kumpulan pesawat penerbangan jarak jauh syarikat itu.
“Malaysia merupakan pusat ekonomi penting di Asia Tenggara dan destinasi yang berkembang pesat bagi perniagaan dan pelaburan antarabangsa manakala warisan budaya yang kaya serta pelbagai tarikan hanya menjadikan Malaysia sebagai destinasi menarik bagi pelancong rekreasi.
“Perkhidmatan penerbangan terus baharu Lufthansa menghubungkan kedua-dua aspek itu, sekali gus memudahkan perjalanan antara Malaysia dengan Eropah serta memberi pengalaman penerbangan jarak jauh yang lebih baik kepada pelanggan,” katanya.
-- BERNAMA