Skip to main content

Dunia

Afrika Selatan hukum penjara 125 tahun ke atas lima pemburu haram badak sumbu

Pertuduhan itu berpunca daripada dua kejadian di Ladang Hidupan Liar Hunters Hill di Sterkstroom pada 2017, menyaksikan lima ekor badak sumbu ditembak mati dan sumbunya diambil. - Gambar fail
Pertuduhan itu berpunca daripada dua kejadian di Ladang Hidupan Liar Hunters Hill di Sterkstroom pada 2017, menyaksikan lima ekor badak sumbu ditembak mati dan sumbunya diambil. - Gambar fail
Advertisement

JOHANNESBURG: Lima lelaki yang disabitkan kesalahan memburu badak sumbu secara haram di Afrika Selatan masing-masing dijatuhi hukuman penjara 25 tahun, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara mereka 125 tahun, kata polis pada Khamis, lapor Xinhua.

Hukuman itu dijatuhkan pada Isnin oleh Mahkamah Wilayah Komani yang bersidang di Cacadu di Wilayah Eastern Cape. Kelima-lima lelaki terbabit disabitkan kesalahan pada September lepas atas pertuduhan mencuri, melanggar undang-undang biodiversiti, serta memiliki senjata api dan peluru secara haram.

Pertuduhan itu berpunca daripada dua kejadian di Ladang Hidupan Liar Hunters Hill di Sterkstroom pada 2017, menyaksikan lima ekor badak sumbu ditembak mati dan sumbunya diambil.

Advertisement

Suspek ditahan pada Disember 2017 selepas polis menahan dua kenderaan di Wilayah Free State dan merampas selaras senapang .458 Magnum. Ujian balistik kemudiannya mengaitkan senjata api itu dengan kedua-dua kejadian tembakan berkenaan.

Tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan kekal dalam tahanan sepanjang prosiding undang-undang yang berlangsung hampir sembilan tahun. Hukuman penjara berkenaan adalah tambahan kepada tempoh tahanan yang telah dilalui mereka, menurut polis. Mahkamah turut mengisytiharkan kesemua tertuduh tidak layak memiliki senjata api.

Advertisement

Pesuruhjaya Daerah Chris Hani, Rudolph Adolph memuji usaha bersepadu penyiasat kes kecurian ternakan dan penyelaras badak sumbu peringkat wilayah, sambil menyifatkan hukuman itu akan menjadi pengajaran terhadap jenayah hidupan liar.

Afrika Selatan yang menjadi habitat kepada populasi badak sumbu terbesar di dunia terus berdepan ancaman pemburuan haram yang didorong oleh permintaan terhadap sumbu haiwan itu di pasaran haram antarabangsa.

Data Jabatan Perhutanan, Perikanan dan Alam Sekitar menunjukkan sebanyak 352 ekor badak sumbu diburu secara haram di seluruh negara itu pada 2025, menurun 16 peratus berbanding 420 ekor pada 2024. Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 pula, sebanyak 230 ekor lagi diburu secara haram di seluruh negara berbanding 248 ekor dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Populasi minimum badak sumbu Afrika Selatan dianggarkan sebanyak 15,096 ekor pada akhir 2025, merangkumi 2,565 badak sumbu hitam dan 12,531 badak sumbu putih, meningkat 4.9 peratus berbanding 2024, menurut jabatan itu.

Bagi mengekang pemburuan haram, pihak berkuasa Afrika Selatan mempergiatkan penguatkuasaan undang-undang dan operasi berasaskan risikan, di samping memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, rizab hidupan liar swasta dan pertubuhan pemuliharaan.

--BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement