KOTA KINABALU: Eksport produk koko dan coklat Malaysia meningkat kepada RM6.9 bilion pada tahun lepas berbanding RM4.2 bilion pada 2010, kata Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM) Dr Ramle Kasin.

Menurutnya, ini didorong oleh pertambahan kadar pengambilan coklat per kapita di negara-negara Asia Pasifik daripada 0.15 kilogram kepada 0.2 kilogram bagi tempoh sama selain peningkatan kesedaran pengguna terhadap khasiat koko serta coklat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pesta Koko Sabah 2022 yang telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, di sini, semalam.

Mengulas acara itu, Ramle menyifatkan usaha tersebut mampu menjadi pemangkin pertumbuhan industri koko dengan mempromosikan produk coklat keluaran tempatan, meluaskan jaringan pemasaran domestik yang meningkatkan pendapatan, saiz pasaran koko serta produknya.

Sementara itu, Hajiji berkata Sabah selaku negeri pengeluar utama biji koko negara telah mengeksport sejumlah RM16.16 juta koko dan produknya pada tahun lepas dengan nilai eksport coklat sebanyak RM7.72 juta.

Menurutnya, selain menyumbang 59 peratus daripada jumlah pengeluaran biji koko negara iaitu 540 tan metrik, Sabah turut menyumbang 57 peratus atau kira-kira 3,444 hektar daripada keluasan tanaman koko negara sebanyak 6,000 hektar.

"Lima daerah menjadi kawasan penanaman koko yang aktif di Sabah iaitu Ranau, Kota Marudu, Tenom, Kota Belud dan Tambunan.

"Nilai jualan usahawan coklat di Sabah berjumlah RM137,487 pada tahun lepas dan saya berharap usaha dapat digandakan lagi supaya lebih ramai pengusaha produk hiliran koko.

"Saya dimaklumkan industri hiliran di Sabah kini terdiri daripada lima syarikat pengilang coklat dan konfeksi koko atau makanan berasaskannya serta 32 usahawan coklat tempatan," katanya.

Beliau berkata, pengeluaran biji koko di Sabah telah menyumbang kepada permintaan biji koko premium yang diperlukan oleh pengusaha coklat daripada proses biji koko kering sehingga produk coklat.

Ini termasuk pengusaha coklat 'single origin' iaitu biji koko daripada lokasi tunggal dan pengusaha coklat premium untuk pasaran khusus berkualiti tinggi dalam jumlah kecil dengan harga atau nilai produk yang tinggi.

Menurut Hajiji, strategi untuk meningkatkan penggunaan koko tempatan menerusi pelbagai medium promosi juga akan terus dilaksanakan, sejajar dengan hala tuju jangka panjang.

"Ia boleh dijadikan produk pelancongan tambahan Sabah seperti coklat berintikan (produk teh tempatan) Sabah Tea, coklat berintikan madu kelulut dan coklat daripada lokasi tunggal Kota Marudu selain pakej menggunakan produk tradisi dan imej ikon Sabah," katanya.

-- BERNAMA