KUALA LUMPUR: Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia 2024 (MIFF 2024) dijangka mencatatkan jualan antara US$1.3 bilion dan US$1.35 bilion daripada US$1.21 bilion tahun lepas, peningkatan 19 peratus daripada 2022. (US$1 = RM4.75)

Pengasas dan pengerusinya Datuk Tan Chin Huat berkata ramalan jualan itu mewakili pertumbuhan melebihi 5.0 hingga 6.0 peratus.

"Anggaran US$1.3 bilion merupakan kira-kira separuh daripada jumlah eksport perabot Malaysia," katanya kepada Bernama di luar majlis pelancaran MIFF 2024 pada Jumaat.

Tan berkata MIFF terus berkembang dan merupakan antara pameran perdagangan perabot paling lama di Asia selama 30 tahun.

Beliau berkata perkembangan itu dapat dilihat menerusi jumlah peserta yang semakin bertambah, meningkat kepada 714 pempamer dari 15 negara ketika MIFF 2024 berbanding 673 pempamer pada 2023.

Sewaktu dimulakan pada 1995, MIFF hanya mempunyai 152 pempamer tempatan.

"Malaysia terus menyaksikan pengembangan dalam penawaran produk yang baik dan berkualiti. Selain itu, kami turut mendapati China melangkah kepada satu peringkat perubahan dari segi industri perabot, dan kosnya meningkat dengan ketara, menawarkan kelebihan kepada kami," katanya.

Tan berkata angka prapendaftaran untuk pengunjung turut meningkat dengan ketara sebanyak 20 peratus, menunjukkan minat pembeli yang stabil dan berterusan.

Sebanyak 20,000 pengunjung dijangka melawat MIFF 2024 dari 1-4 Mac di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) melibatkan gabungan ruang berkeluasan 100,000 meter persegi.

Selain penggiat Malaysia, syarikat dari Kemboja, China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, Turkiye, Vietnam, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat turut menyertai acara pada tahun ini.

MIFF, pameran perabot terbesar di Asia Tenggara, merupakan antara 10 pasaran perabot terbaik di seluruh dunia.

Tan berkata MIFF turut menjadi platform untuk membangunkan para pereka yang dikehendaki.

-- BERNAMA