Skip to main content

Bisnes

F1 kembali ke Malaysia berpotensi pacu aktiviti ekonomi lebih RM1 bilion

Sumber: BERNAMA
Penganjuran Formula Satu (F1) Grand Prix Bahrain Gulf Air (GP Bahrain) di Malaysia, selaku tuan rumah, berpotensi menjadi pemangkin utama ekonomi dengan merangsang pelbagai sektor melalui perbelanjaan lebih tinggi oleh pengunjung domestik dan antarabangsa. - Gambar fail Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penganjuran Formula Satu (F1) Grand Prix Bahrain Gulf Air (GP Bahrain) di Malaysia, selaku tuan rumah, berpotensi menjadi pemangkin utama ekonomi dengan merangsang pelbagai sektor melalui perbelanjaan lebih tinggi oleh pengunjung domestik dan antarabangsa.

Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, acara itu boleh menjana aktiviti ekonomi bernilai lebih RM1 bilion, disokong peningkatan perbelanjaan untuk sektor pelancongan, penerbangan, hospitaliti dan sektor lain yang berkaitan.

Beliau berkata acara itu akan meningkatkan kepenghunian hotel dan permintaan terhadap perkhidmatan berkaitan pelancongan serta aktiviti makanan dan minuman (F&B), seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.

“Setiap ringgit yang dibelanjakan oleh pengunjung akan menjana manfaat ekonomi yang lebih luas melalui peningkatan pendapatan, pekerjaan dan peluang perniagaan.

“Perlumbaan ini juga akan melonjakkan kebolehlihatan global terhadap Malaysia melalui liputan media antarabangsa yang meluas di samping menyediakan peluang untuk Malaysia menyerlahkan infrastruktur, kesambungan dan persekitaran perniagaan negara kepada bakal pelabur,” katanya.

Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan turut senada dengan berkata, saluran penghantaran utama adalah melalui eksport pelancongan.

Beliau berkata, perbelanjaan oleh pengunjung asing direkodkan sebagai eksport perkhidmatan dalam akaun negara, yang secara langsung menyokong Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkhidmatan Malaysia di samping meningkatkan terimaan perbelanjaan pelancongan dalam akaun semasa.

Beliau berkata, tidak seperti perbelanjaan domestik, perkara itu mewakili kemasukan permintaan baharu ke dalam ekonomi, sekali gus menjadikan kesan pengganda ekonomi lebih kukuh.

“Saluran kedua ialah penggunaan swasta, yang menyumbang lebih separuh kepada KDNK Malaysia. 

"Pengunjung Formula Satu biasanya mempunyai perbelanjaan per kapita yang lebih tinggi daripada purata pelancong riadah, dengan perbelanjaan tertumpu kepada penginapan, penerbangan, makanan dan minuman, peruncitan, hiburan dan perkhidmatan mobiliti.

“Ini mewujudkan dorongan penggunaan meluas yang melimpah melalui rantaian bekalan, menyokong pekerjaan dan pendapatan perniagaan, terutama dalam ekosistem pelancongan,” katanya.

Mengenai potensi impak GP Bahrain terhadap pertumbuhan KDNK Malaysia tahun ini, Barjoyai berkata, sumbangan langsung kepada KDNK tahunan akan agak sederhana.

“Namun, KDNK suku tahunan, khususnya pada suku keempat 2026, boleh mencatat peningkatan sederhana melalui aktiviti sektor perkhidmatan yang lebih rancak dan terimaan perbelanjaan pelancongan yang lebih tinggi,” kata Barjoyai.

Beliau berkata, lebih penting lagi, F1 membantu mempelbagaikan pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan memperkukuh pelancongan dan perkhidmatan bernilai tinggi dan bukannya bergantung sepenuhnya kepada pembuatan dan eksport.

Oleh itu, acara itu dijangka tidak mengubah kadar pertumbuhan KDNK tahunan keseluruhan Malaysia secara ketara namun, boleh menyokong pertumbuhan sektor perkhidmatan dan memperkukuh keyakinan pengguna.

Acara F1 GP Bahrain di Malaysia juga dijangka memberi manfaat kepada sektor tertentu, terutama penerbangan.

Barjoyai menganggarkan acara itu boleh menjana kira-kira tambahan 50,000 pengunjung antarabangsa berdasarkan senario asas.

Berdasarkan andaian 90 peratus daripada pengunjung itu tiba melalui udara, acara tersebut boleh menyumbang sekitar 45,000 pergerakan penumpang dalam negara dan 45,000 pergerakan penumpang luar negara, menjadikan jumlah pergerakan penumpang tambahan kepada kira-kira 90,000.

“Peningkatan ketibaan antarabangsa boleh membantu meningkatkan faktor muatan syarikat penerbangan, terutama di laluan serantau dari Singapura, Thailand, Indonesia, China, Jepun, Australia dan Timur Tengah,” katanya.

Beliau berkata, trafik penumpang yang lebih tinggi juga boleh memberikan manfaat limpahan kepada peruncitan dan perkhidmatan sampingan di lapangan terbang.

Secara keseluruhannya, pelancongan dan peruncitan dijangka meraih manfaat paling besar, disokong oleh ketibaan dan perbelanjaan pengunjung yang lebih tinggi, dengan impak ekonomi meluas berkemungkinan menjadi lebih ketara apabila acara itu semakin hampir.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement