ROM: Pengeluar kereta sport mewah Itali, Ferrari pada Selasa melaporkan keuntungan dan pendapatan lebih tinggi bagi suku ketiga berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, sekali gus mendorong syarikat itu meningkatkan prospek bagi keseluruhan tahun ini, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Mengenai unjuran bagi tahun kewangan 2026, Ferrari kini mengunjurkan pendapatan larasan melebihi €9.85 (US$11.02) sesaham dengan perolehan bersih sekitar €7.65 bilion (US$8.56 bilion).
Ferrari sebelum ini menjangkakan pendapatan larasan melebihi €9.68 sesaham dengan perolehan bersih sekitar €7.6 bilion.
Pada tahun kewangan 2025, pendapatan larasan dicatatkan pada €8.96 sesaham dengan perolehan bersih sebanyak €7.15 bilion.
Bagi suku ketiga, keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat berjumlah €430 juta, lebih tinggi berbanding €381 juta pada tahun lepas. Pendapatan sesaham meningkat 14 peratus kepada €2.44 berbanding €2.14 tahun sebelumnya.
Pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) sebanyak €563 juta melonjak 12 peratus tahun ke tahun, manakala margin EBIT meningkat kepada 29.7 peratus daripada 28.4 peratus pada tahun lepas.
Hasil perolehan syarikat bagi tempoh berkenaan meningkat 7.4 peratus kepada €1.896 bilion daripada €1.766 bilion pada tahun lepas.
Dalam aktiviti prapasaran di Bursa Saham New York (NYSE), saham syarikat diniagakan 0.18 peratus lebih tinggi pada US$403.59, selepas ditutup 1.79 peratus lebih tinggi pada Isnin.
Di Itali, sahamnya didagangkan pada paras €359.30, naik 0.1 peratus.
--BERNAMA-dpa