Skip to main content

Dunia

Masih tiada kerajaan baharu di Sweden ketika Kristersson teroka pilihan

Ulf Kristersson ketika hadir pada satu mesyuarat di Brussels, Belgium, 16 Okt 2026. - Gambar fail/REUTERS
Ulf Kristersson ketika hadir pada satu mesyuarat di Brussels, Belgium, 16 Okt 2026. - Gambar fail/REUTERS
Advertisement

COPENHAGEN: Pemangku Perdana Menteri Sweden Ulf Kristersson akan cuba membentuk kerajaan baharu selepas lebih tujuh minggu pilihan raya umum berlangsung, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Terdahulu pada Selasa, seperti yang dijangka, Parlimen Sweden menolak pencalonan Ketua Parti Pusat, Elisabeth Thand Ringqvist, sebagai ketua kerajaan yang baharu.

Ringqvist telah menamatkan rundingan penerokaan yang bertujuan membentuk sebuah kerajaan berhaluan tengah yang berasas luas pada minggu lepas.

Advertisement

Sebelum beliau, pemimpin Parti Demokrat Sosial, Magdalena Andersson, turut gagal dalam usahanya untuk membentuk kerajaan haluan tengah-kiri.

Speaker Parlimen Anders Norlén mengumumkan pada minggu lepas bahawa mandat untuk meneroka pembentukan kerajaan akan diserahkan kepada Kristersson sekiranya Ringqvist gagal berbuat demikian.

Advertisement

Kristersson kemudiannya diberikan tempoh seminggu bagi mengadakan rundingan penerokaan sebelum perlu melaporkan semula perkembangannya kepada Norlén.

Pemimpin konservatif itu sebelum ini mentadbir menerusi gabungan tiga parti yang disokong oleh pihak populis sayap kanan. Bagaimanapun, pakatan berkenaan gagal memperoleh majoriti dalam pilihan raya parlimen pada September.

Sebaliknya, empat parti pembangkang -- Parti Demokrat Sosial, Parti Kiri, Parti Hijau dan Parti Pusat yang berhaluan liberal -- meraih kemenangan tipis.

Bagaimanapun, usaha membentuk sebuah kerajaan campuran terbukti sukar kerana Parti Pusat menolak sebarang gabungan yang melibatkan Parti Kiri, manakala Parti Kiri bertegas untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan.

--BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement