SHAH ALAM: Beberapa laluan utama di sekitar Shah Alam termasuk di Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Shah Alam (ELITE) ditutup akibat banjir kilat awal pagi ini.
PLUS Malaysia Berhad dalam kenyataan memaklumkan kawasan yang terjejas membabitkan KM9.1 NKVE di kedua-dua arah, laluan masuk dan keluar Plaza Tol Shah Alam serta beberapa laluan di Persimpangan Shah Alam.
Menurut PLUS, setakat jam 6.16 pagi, semua lorong di KM9.1 NKVE masih ditutup kepada lalu lintas.
"Trafik arah utara dari Bukit Raja dilencongkan ke Plaza Tol Setia Alam manakala trafik arah selatan dari Subang dilencongkan ke Lebuhraya ELITE," menurut kenyataan itu.
Banjir kilat turut menjejaskan laluan di ELITE di Persimpangan Shah Alam dari arah Seafield menuju Setia Alam, dengan semua lorong ditutup dan trafik dilencongkan sementara ke Plaza Tol Shah Alam.
Selain itu, laluan dari Lebuhraya Koridor Guthrie menuju ke Plaza Tol Shah Alam juga ditutup akibat banjir kilat.
Terdahulu, keadaan banjir mula dilaporkan sekitar jam 2 pagi apabila beberapa lorong di KM9.1 NKVE terhalang sebelum paras air meningkat dan memaksa penutupan penuh laluan berkenaan sekitar jam 3 pagi.
Menerusi beberapa kemas kini di akaun X @plustrafik, PLUS menasihatkan pengguna jalan raya supaya menggunakan laluan alternatif dan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi akaun rasmi @plustrafik di platform X serta aplikasi PLUS.
Pengguna yang berada di kawasan terjejas juga disaran menggunakan aplikasi navigasi seperti Google Maps untuk memilih laluan alternatif yang sesuai.
Setakat ini, tiada maklumat mengenai tempoh penutupan laluan atau sebarang laporan kemalangan akibat kejadian tersebut.