Skip to main content

Dunia

Rio Tinto labur RM87 juta halang kemaraan katak tebu di Australia Barat

Katak tebu diperkenalkan ke Australia pada 1935 untuk mengawal serangga perosak dalam industri tebu. - Foto REUTERS
Katak tebu diperkenalkan ke Australia pada 1935 untuk mengawal serangga perosak dalam industri tebu. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Rio Tinto akan melabur A$28 juta untuk membina zon sekatan khas menghalang kemaraan katak tebu ke Pilbara, Australia Barat.
  • Projek lima tahun bersama Universiti Curtin ini bertujuan melindungi hidupan liar tempatan dan ekosistem Pilbara daripada ancaman spesies invasif tersebut.
  • Pelan ini akan menghalang akses katak tebu ke sumber air buatan di kawasan seluas 7,500 kilometer persegi, bermula pada tahun 2027.
Advertisement

PERTH: Gergasi perlombongan Rio Tinto akan melabur A$28 juta (kira-kira RM114.17 juta) bagi membantu menghalang kemaraan katak tebu beracun ke rantau Pilbara di Australia Barat, lokasi operasi bijih besi terbesar syarikat itu.

Projek yang dilaksanakan bersama Universiti Curtin dan beberapa rakan kerjasama lain itu melibatkan pembinaan zon sekatan khas bagi menghalang spesies invasif berkenaan bergerak lebih jauh ke selatan.

Walaupun katak tebu tidak mengancam operasi perlombongan secara langsung, haiwan itu menghasilkan toksin yang boleh membunuh pelbagai hidupan liar tempatan dan menjejaskan keseimbangan ekosistem Pilbara.

Advertisement

Menurut Renjer Kawasan Perlindungan Orang Asli Nyangumarta Warrarn, Roberta Hunter, komuniti pribumi setempat mahu menghalang kemaraan katak tebu bagi melindungi alam sekitar mereka.

"Katak tebu merosakkan sumber air dan mengancam hidupan liar. Kami mahu menghalangnya sebelum kawasan kami terjejas," katanya.

Advertisement

Pelan itu melibatkan pembinaan halangan merentasi kawasan seluas kira-kira 7,500 kilometer persegi antara Gurun Great Sandy dan Lautan Hindi.

Pada musim kering, katak tebu memerlukan sumber air setiap beberapa hari untuk terus hidup.

Oleh itu, projek berkenaan akan memberi tumpuan kepada usaha menghalang haiwan itu daripada mengakses empangan, tangki simpanan dan sumber air buatan lain yang lazimnya digunakan untuk ternakan atau pengairan.

Projek selama lima tahun itu dijadual bermula pada 2027.

Beberapa spesies tempatan yang dikhuatiri terjejas jika katak tebu memasuki Pilbara termasuk northern quoll, biawak goanna dan kelawar ghost bat.

Katak tebu diperkenalkan ke Australia pada 1935 untuk mengawal serangga perosak dalam industri tebu.

Namun sejak itu, spesies berkenaan merebak secara beransur-ansur ke seluruh kawasan utara negara itu pada kadar antara 40 hingga 60 kilometer setahun.

Profesor Universiti Curtin, Ben Phillips, berkata tanpa campur tangan, katak tebu dijangka tiba di Pilbara dalam tempoh dua dekad akan datang.

Beliau menyifatkan zon sekatan yang dirancang itu sebagai peluang terbaik untuk menghentikan penyebaran salah satu spesies invasif paling merosakkan di dunia sambil melindungi hidupan liar unik di rantau berkenaan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement