KUALA LUMPUR:Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik usaha kerajaan untuk mengkaji kebolehlaksanaan pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan meneliti kelemahan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada.

Presiden, Tan Sri Soh Thian Lai berkata harga eksport Malaysia akan menjadi lebih kompetitif di peringkat global kerana GST tidak akan dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan yang dieksport manakala GST yang dikenakan ke atas input boleh dituntut semula bagi sepanjang rantaian bekalan.

"Memandangkan persekitaran domestik dan luaran yang lemah akibat impak pandemik COVID-19, kami percaya keutamaan harus diberikan untuk memperkukuh ekonomi dan memulihkan keadaan perniagaan supaya lebih memberangsangkan," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata justeru, kerajaan perlu berunding dengan semua pihak yang berkepentingan sepanjang proses kajian itu yang amat penting bagi kejayaan langkah memperkenalkan sistem cukai yang berkesan.

Soh berkata FMM telah melakukan tinjauan berkaitan dengan pengenalan semula GST pada Mei dengan melibatkan 499 syarikat, yang sangat menyokong agar langkah itu dilaksanakan kembali selain menambah baik sistem tersebut supaya lebih mesra pengguna dan perniagaan.

Pada 10 Dis lepas, Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata kerajaan akan mempertimbangkan pelbagai aspek untuk mengkaji pelaksanaan semula GST, termasuk kelemahan SST yang sedang berlaku, dan begitu juga GST yang dilaksanakan pada 2015.

Beliau berkata kajian itu akan merangkumi kesan ke atas ekonomi, kos sara hidup, kesan cukai terhadap harga barang, serta kemampuan untuk menangani kegiatan ekonomi bayangan.

-- BERNAMA