Skip to main content

Teknologi

Festival Of Ideas Putrajaya: Rullzz pemotong jitu, inovasi UTeM tingkat ketepatan pemotongan komposit karbon

Menyedari cabaran itu, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) membangunkan RULLZZ Precision Cutter, inovasi mata alat pemotong berprestasi tinggi khusus untuk meningkatkan kualiti pemprosesan bahan komposit gentian karbon.
Menyedari cabaran itu, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) membangunkan RULLZZ Precision Cutter, inovasi mata alat pemotong berprestasi tinggi khusus untuk meningkatkan kualiti pemprosesan bahan komposit gentian karbon.
Advertisement

MELAKA: Ketepatan dalam industri aeroangkasa bukan sekadar soal menghasilkan potongan yang kemas, sebaliknya menentukan kualiti dan pematuhan sesuatu komponen terhadap spesifikasi teknikal. 

Menyedari cabaran itu, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) membangunkan RULLZZ Precision Cutter, inovasi mata alat pemotong berprestasi tinggi khusus untuk meningkatkan kualiti pemprosesan bahan komposit gentian karbon.

Inovasi berkenaan memberi tumpuan kepada proses pemotongan kemasan atau edge trimming bahan Carbon Fibre Reinforced Polymer (CFRP), yang banyak digunakan dalam pembuatan komponen pesawat kerana sifatnya yang ringan, mempunyai kekuatan tinggi dan tahan kakisan.

Image
INSERT_INOVASI UTEM_02



Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi, Kejuruteraan Industri dan Pembuatan UTeM, Dr. Syahrul Azwan Sundi @ Suandi, berkata pembangunan teknologi itu tercetus daripada cabaran pemotongan bahan komposit yang mempunyai sifat gentian karbon sangat melelas sehingga menyebabkan mata alat konvensional cepat mengalami kehausan.

Menurutnya, keadaan itu boleh menjejaskan kualiti permukaan komponen, termasuk menyebabkan gentian tertarik keluar, tidak terpotong dengan sempurna serta kerosakan pada matriks komposit.

"Dalam industri ini, ketepatan dan kualiti permukaan bukan sekadar soal penampilan. Ia berkait rapat dengan pematuhan kepada spesifikasi teknikal dan keperluan kualiti komponen," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.

Beliau berkata, kecacatan pada permukaan komponen boleh meningkatkan risiko sesuatu produk gagal memenuhi spesifikasi, sekali gus menyebabkan kerja pembaikan, pemotongan semula atau penolakan komponen serta pertambahan kos pengeluaran.

Jelasnya, keistimewaan RULLZZ terletak pada reka bentuk geometri mata pemotong, termasuk susunan gigi pemotong dan sudut heliks yang dikaji serta dioptimumkan bagi menghasilkan proses pemotongan lebih terkawal dan permukaan lebih kemas.
 

Image
INSERT_INOVASI UTEM_01


"Pendekatan kami adalah untuk melihat masalah ini dari sudut reka bentuk mata alat itu sendiri. Kami mengkaji bagaimana bilangan gigi pemotong, sudut heliks dan parameter pemotongan mempengaruhi kualiti permukaan serta kehausan mata alat.

"Bagi menguji keberkesanan inovasi itu, pasukan penyelidik menjalankan eksperimen dengan menilai parameter seperti kelajuan pemotongan, kadar suapan, bilangan gigi pemotong dan sudut heliks. 

"Prestasi setiap reka bentuk turut dinilai menggunakan penguji kekasaran permukaan dan mikroskop bagi memeriksa keadaan permukaan serta tahap kehausan mata alat," ujarnya.

Pembangunan RULLZZ dilaksanakan menerusi penyelidikan gunaan yang menggabungkan kepakaran akademik, eksperimen makmal dan kerjasama industri, termasuk Defatech Sdn Bhd serta Evertools Industrial Supply Sdn Bhd.

Advertisement
Image
INOVASI UTEM


Spesimen bahan komposit CFRP bagi tujuan penyelidikan pula diperoleh daripada Aerospace Composites Malaysia (ACM) Sdn Bhd.

Syahrul Azwan berkata, peningkatan kualiti permukaan dan ketahanan mata alat berpotensi membantu industri mengurangkan kerja pembaikan, kekerapan penggantian alat serta gangguan proses pengeluaran.

"Matlamat kami bukan sekadar menghasilkan mata alat yang boleh memotong bahan komposit, tetapi menghasilkan mata alat yang membantu industri mencapai kualiti yang konsisten dengan kos pengeluaran yang lebih kompetitif," katanya.

Mengulas perkembangan inovasi itu, beliau berkata RULLZZ sudah melalui peringkat reka bentuk, fabrikasi dan pengujian makmal menggunakan panel CFRP, manakala langkah seterusnya adalah memperluas pengujian dalam keadaan operasi yang lebih hampir kepada persekitaran industri.

Menurutnya, pengesahan prestasi secara lebih menyeluruh perlu dilakukan, termasuk dari segi konsistensi kualiti permukaan, jangka hayat mata alat dan kesesuaian dengan keperluan pengeluaran sebenar sebelum penggunaannya diperluaskan.

Image
INSERT_INOVASI UTEM_05


Beliau berharap RULLZZ Precision Cutter dapat dikembangkan daripada hasil penyelidikan universiti kepada penyelesaian teknologi yang memberi manfaat kepada lebih banyak pengeluar komponen komposit, khususnya dalam industri aeroangkasa.

"Kejayaan penyelidikan bukan hanya diukur melalui penerbitan atau pencapaian akademik, tetapi juga melalui sejauh mana hasil penyelidikan itu dapat dimanfaatkan oleh industri dan masyarakat. Itulah aspirasi kami di UTeM," katanya.

Selain itu, beliau berkata, platform seperti Festival of Idea 2026 yang akan berlangsung di Putrajaya pada 17 hingga 19 November ini penting bagi membolehkan hasil penyelidikan dan kreativiti warga akademik diterjemahkan kepada produk yang boleh dikomersialkan.

Must Watch Video

Advertisement