KUALA LUMPUR: Kesedaran terhadap takaful dalam kalangan masyarakat Malaysia masih berada pada tahap rendah dengan hanya sekitar 19 hingga 20 peratus memahami kepentingan perlindungan kewangan.
Pengasas Agensi Kumpulan Qaizer FWD Takaful, Khairul Afifie berkata, peranan dalam industri takaful bukan hanya membantu masyarakat mendapatkan perlindungan, malah mendidik mereka mengenai perancangan kewangan serta membuka ruang untuk membina kerjaya dan organisasi sendiri.
“Peranan kita sebagai manager, selain membantu masyarakat mengenai perlindungan, kita membantu juga masyarakat untuk membina kerjaya.
“Kita mendidik untuk memastikan agensi kita dapat memberi pendedahan dari segi perancangan kewangan,” katanya ketika ditemu bual menerusi program AWANI Pagi, pada Isnin.
Menurut Khairul, setiap individu mempunyai risiko dan keperluan perlindungan yang berbeza, justeru pemilihan pelan takaful perlu dibuat berdasarkan keperluan sebenar, bukannya hanya melihat kepada harga.
Jelasnya, antara perlindungan yang perlu difahami termasuk kad perubatan, hibah dan perlindungan penyakit kritikal yang masing-masing mempunyai fungsi berbeza.
“Medical card (kad perubatan), peranannya adalah untuk hospitaliti. Peranan hibah untuk penggantian pendapatan. Peranan critical illness adalah bila berlakunya penyakit kritikal,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Kumpulan Qaizer FWD Takaful, Ahmad Fikry Isa berkata tahap kesedaran masyarakat terhadap takaful yang masih sekitar 19 hingga 20 peratus menunjukkan masih ramai yang belum memahami kepentingan perlindungan kewangan.
“Masih lagi tidak tinggi jadi, sekitar 19 hingga 20 peratus. Itu adalah peluang yang kita boleh ambil untuk kita membina kerjaya di sini,” jelasnya.
Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja memperlihatkan keperluan untuk meningkatkan pendidikan kewangan masyarakat, malah membuka peluang kepada individu yang mahu membina kerjaya dalam industri takaful.
Dalam aspek perancangan kewangan, Ahmad Fikry berkata perlindungan perlu menjadi lapisan asas sebelum seseorang memberi tumpuan kepada simpanan dan pelaburan, supaya dana tersebut tidak terjejas apabila berlaku musibah.
Beliau berkata, individu juga perlu mengenal pasti komitmen dan perbelanjaan masing-masing bagi menentukan jumlah perlindungan yang diperlukan, termasuk mengambil kira pendapatan, hutang serta tanggungan keluarga.
“Kalau sekarang ini hibah RM1 juta itu sudah jadi perkara yang biasa. Sebab apa? Dengan inflasi kita, kos kehidupan naik.
“Jadi setiap individu untuk setiap dua tahun ke tiga tahun dia kena review semula polisinya,” katanya.
Menurut Ahmad Fikry, perlindungan hibah pula boleh membantu keluarga meneruskan kelangsungan hidup sekiranya pencari nafkah meninggal dunia, termasuk untuk melangsaikan hutang, perancangan harta pusaka dan pendidikan anak-anak.
Katanya, jumlah perlindungan boleh disesuaikan dengan keperluan individu, dengan lima hingga 10 tahun gaji antara perkara yang boleh dijadikan pertimbangan bagi manfaat kematian atau hibah.
Dalam masa sama, Khairul berkata kerjaya takaful mempunyai potensi untuk berkembang daripada seorang ejen kepada pemimpin dan seterusnya membina pasukan sendiri, dengan sokongan latihan serta bimbingan yang disediakan.
Beliau berkata Kumpulan Qaizer turut mempunyai jabatan latihan dan pemimpin yang memberi panduan kepada ejen, manakala teknologi digital FWD Takaful memudahkan urusan bersama pelanggan dan pengurusan perniagaan.
Ahmad Fikry berkata, FWD Takaful turut menyediakan program onboarding (proses orientasi), latihan berkala, bimbingan serta sokongan pendapatan pada fasa awal kerjaya, selain peluang insentif dan pembangunan kepimpinan.
“Industri ini menawarkan fleksibiliti, tetapi kita jangan keliru antara disiplin dan fleksibiliti.
“Ramai yang masuk industri ini gagal sebab dia tidak ada disiplin. Dua hingga tiga tahun pertama itu kita kena bina asas dahulu,” ujarnya.
Bagi mereka yang berminat meneroka kerjaya dalam industri takaful, Ahmad Fikry menyarankan individu mendapatkan maklumat daripada ejen atau pemimpin Kumpulan Qaizer serta FWD Takaful, mengikuti sesi penerangan peluang perniagaan dan menduduki Takaful Basic Examination (TBE) melalui Malaysian Takaful Association sebelum memulakan kerjaya.