KUALA LUMPUR: Gamuda Land telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Digital Nasional Bhd (DNB) untuk memacu Pelan Bandar Pintar Gamuda dengan inovasi 5G.

Gamuda dan DNB dalam kenyataan bersama berkata kerjasama itu akan menyaksikan kedua-dua pihak komited untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti bagi memupuk kerjasama, pertukaran pengetahuan, meneroka potensi 5G dan pengembangan liputan perkhidmatan dan infrastruktur 5G di perbandaran Gamuda Land, iaitu Gamuda Cove @ Kuala Langat, Gamuda Gardens @ Sungai Buloh North dan twentyfive7 @ South of Kota Kemuning.

Kedua-dua pihak berkata MoU berkenaan menjadi platform kepada era inovasi, kerjasama dan kemajuan dalam pembangunan perbandaran, memastikan penduduk, orang awam dan perusahaan dalam projek Gamuda Land meraih manfaat daripada kesalinghubungan terkini 5G.

Ketua Pegawai Operasi Gamuda bagi operasi strategik Jess Teng berkata sebagai pemaju perbandaran, perancangan infrastruktur strategik adalah penting untuk memastikan kumpulan itu mengekalkan kesinambungan masa hadapan perbandarannya.

"Menyedari peranan penting teknologi 5G, perkongsian strategik kami dengan DNB menjadi pemangkin untuk merealisasikan visi bandar pintar kami. Kami bersama-sama bercita-cita untuk mencipta perbandaran yang saling berkait dan inovatif, memanfaatkan kuasa 5G untuk meningkatkan pengalaman hidup kepada penduduk," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi DNB Datuk Ahmad Zaki Zahid berkata penerimagunaan 5G oleh orang ramai dan perusahaan di negara ini meraih momentum.

"Sehingga akhir Disember 2023, Malaysia telah mencatatkan 8.2 juta langganan perkhidmatan 5G, menyumbang kadar penerimagunaan sebanyak 24.7 peratus. Kami juga teruja  menyajksikan perusahaan telah mula meneroka potensi peluang daripada 5G.

“5G sebenarnya kunci kepada masa depan bandar pintar dan perbandaran. Kami berharap dapat menyokong aspirasi perbandaran pintar Gamuda Land," katanya.

Gamuda Cove, yang digambarkan sebagai kawasan perlindungan alam sekitar dan bandar pintar, telah mencatat pencapaian penting dari segi kemampanan dengan pengiktirafan berlian di Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air dengan kerjasama Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation.

Kerjasama dengan DNB menandakan langkah seterusnya dalam merealisasikan visi bandar pintar.

-- BERNAMA