GITEX 2025 di Dubai melabuhkan tirai dengan tumpuan kepada pasaran hadapan

Naib Presiden Eksekutif Pusat Dagangan Dunia Dubai, Trixie LohMirmand, di GITEX Global 2025 berkata acara tahun ini menumpukan perhatian kepada pasaran hadapan dan inovasi rentas industri yang memacu ekosistem teknologi global. - Foto Astro AWANI
DUBAI: Pameran teknologi dan kecerdasan buatan (AI) terbesar, GITEX Global 2025 yang berlangsung di Dubai, berakhir dengan kejayaan apabila penganjur mengalihkan tumpuan daripada sekadar menarik jumlah pengunjung kepada penyertaan daripada ekonomi yang sedang pesat membangun serta kepelbagaian pemegang taruh dalam bidang teknologi.
Naib Presiden Eksekutif Pusat Dagangan Dunia Dubai, Trixie LohMirmand, berkata acara tahun ini direka untuk memastikan ekosistem yang seimbang, di mana syarikat pemula (startup), perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat teknologi besar dapat menyertai secara bermakna.
“Kami telah mengalihkan banyak tumpuan daripada hanya angka kepada usaha menarik lebih banyak negara hadapan dan sedang membangun, sambil mengekalkan kepelbagaian dalam kalangan pemegang taruh,” katanya dalam satu sidang media.
Beliau menegaskan bahawa PKS kekal sebagai tunjang ekonomi global, merangkumi lebih 90 peratus daripada keseluruhan perniagaan di seluruh dunia, manakala syarikat pemula terus meneroka sempadan baharu dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI).LohMirmand turut menjelaskan bahawa kadar evolusi teknologi kini semakin pesat, dengan inovasi diterapkan merentas pelbagai sektor dan tidak lagi terhad kepada satu bidang sahaja.
“Industri kini berkembang pada kadar yang amat pantas sehingga teknologi menjadi pemangkin pertumbuhan merentasi sektor,” katanya sambil menambah bahawa kerjasama merupakan elemen utama dalam mengemudi transformasi ini.
Melihat ke hadapan, beliau berkata GITEX 2026 akan memperkukuh momentum tahun ini dengan format yang diperluas, memberi tumpuan kepada apa yang digelar penganjur sebagai ‘GITEX 5.0 Industries’, iaitu satu pameran teknologi canggih dan pesat berkembang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami