KUALA LUMPUR: Seramai 13 lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terbabit dalam kejadian rusuhan dan pergaduhan melibatkan sekumpulan individu bersenjata di sebuah premis perniagaan di Jinjang Utara, di sini, Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Basri Sagoni berkata semua suspek berusia antara 18 hingga 51 tahun itu diberkas dalam tempoh kurang 12 jam selepas kejadian menerusi beberapa operasi serbuan di sekitar ibu negara.
Beliau berkata Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menerima panggilan kecemasan MERS 999 daripada orang awam pada 3.27 petang yang memaklumkan mengenai insiden berkenaan.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis digerakkan ke lokasi bagi mengawal keadaan. Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian berkaitan urusan hutang sebelum bertukar menjadi pergaduhan besar sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan semalam.
Basri berkata tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
“Hasil semakan rekod mendapati beberapa suspek daripada kumpulan berkenaan mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.
“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 18 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau alat berbahaya,” katanya.
Basri menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang bentuk keganasan atau tindakan melangkaui undang-undang yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menyerahkan sebarang pertikaian kepada pihak berkuasa untuk tindakan mengikut saluran undang-undang," katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA