Skip to main content

Dunia

India kemuka bantahan keras terhadap serangan AS ke atas kapal perdagangan

US INDIA FLAG_ASTRO AWANI
Tiga pelaut India terbunuh selepas kapal berbendera Palau, Settebello, dilaporkan terkena serangan tentera AS di luar pantai Oman pada Rabu. - Gambar hiasan

HYDERABAD: India mengemukakan "bantahan keras" kepada Amerika Syarikat   (AS)  pada Jumaat berhubung serangan terhadap kapal-kapal yang dikendalikan kru warga India di Teluk Oman minggu ini.

Kuasa Usaha Kedutaan AS Jason Meeks dipanggil ke Kementerian Hal Ehwal Luar India dan diminta menyampaikan kebimbangan India kepada Kerajaan AS berhubung penggunaan “kekuatan membawa maut” oleh tentera AS terhadap perkapalan awam.

“Bantahan keras dikemukakan kepada beliau berhubung serangan berterusan oleh angkatan laut AS ke atas kapal perdagangan yang membawa pelaut India di Teluk Oman, yang mengakibatkan kehilangan tiga nyawa warga India secara tragis dan boleh dielakkan,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Tiga pelaut India terbunuh selepas kapal berbendera Palau, Settebello, dilaporkan terkena serangan tentera AS di luar pantai Oman pada Rabu.

Kapal tangki asfalt berbendera Guinea-Bissau, Jalveer, pula dilaporkan diserang berhampiran Pelabuhan Shinas, Oman pada Khamis, manakala kapal tangki minyak berbendera Palau, Marivex, dilaporkan diserang pada 8 Jun ketika pasukan AS menguatkuasakan sekatan laut ke atas Iran.

“Tindakan sedemikian tidak boleh diterima dan menjejaskan keselamatan serta kestabilan perdagangan maritim antarabangsa di rantau sensitif pada waktu yang mencabar ini,” menurut kenyataan itu.

Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baqaei dalam hantaran di media sosial sebelum ini turut mengkritik serangan terhadap kapal dagang India.

“Kami menzahirkan simpati kepada keluarga dan rakan-rakan pelaut India yang terkorban serta mengucapkan takziah  setulus hati  kepada rakyat dan Kerajaan India,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement