Skip to main content

Bisnes

Go Auto labur RM1.5 juta perluas fasiliti, sasar tempahan RM50 juta

Sumber: Astro AWANI
Go Auto menyerahkan dua unit buggy kepada pengasas Akademi Ilmi, Ustaz Wadi Anuar dalam usaha menjayakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat.
Advertisement

SUNGAI PETANI: Go Auto Motors Group melaburkan RM1.5 juta bagi memperluaskan fasiliti pengeluarannya dalam usaha meningkatkan kapasiti pembuatan dan memenuhi permintaan yang semakin berkembang bagi segmen kenderaan komersial serta penyelesaian mobiliti.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif Go Auto, Wan Ahmad Wan Omar berkata, pelaburan itu akan membolehkan kapasiti pengeluaran syarikat ditingkatkan kepada sehingga 500 unit sebulan, sekali gus memperkukuh kedudukan syarikat dalam industri automotif tempatan.

Menurut beliau, pembesaran fasiliti berkenaan turut disasarkan menjana nilai tempahan atau order book sebanyak RM50 juta selain mewujudkan kira-kira 100 peluang pekerjaan baharu merangkumi bidang pengeluaran, teknikal, operasi dan sokongan.

"Pelaburan ini mencerminkan komitmen syarikat untuk terus membangunkan keupayaan pengeluaran tempatan serta memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang.

"Pembesaran fasiliti ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk meningkatkan kapasiti, kecekapan dan keupayaan pengeluaran.

"Kami melihat potensi besar dalam segmen kenderaan komersial termasuk kenderaan berkuasa elektrik dan mahu memastikan kami mempunyai kapasiti mencukupi untuk menyokong permintaan pasaran," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sasar pasaran eksport

Selain memberi tumpuan kepada pasaran domestik, Go Auto turut memperkukuh usaha menembusi pasaran antarabangsa termasuk negara ASEAN dan Amerika Syarikat (AS).

Wan Ahmad berkata, syarikat menyasarkan nilai eksport tahunan sebanyak RM20 juta, selaras dengan strategi memperluaskan pasaran bagi produk dan penyelesaian mobiliti yang dibangunkan.

Beliau berkata, perkembangan itu mengukuhkan aspirasi Go Auto untuk muncul sebagai antara pemain utama dalam sektor kenderaan komersial dan mobiliti menerusi penekanan terhadap kualiti, teknologi serta kecekapan operasi.

"Melalui peningkatan kapasiti pengeluaran dan peluasan pasaran ini, kami kekal komited untuk menyokong pertumbuhan industri mobiliti serta mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan melalui pembangunan ekosistem automotif tempatan," katanya.

Sumbang buggy untuk kegunaan komuniti

Dalam perkembangan sama, Go Auto turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan usahawan tempatan dalam menjayakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan syarikat setiap tahun.

Terdahulu, dua unit buggy telah disumbangkan oleh usahawan di bawah bimbingan Mentor Usahawan Jutawan, Datuk Azizan Osman, untuk kegunaan ribuan pengunjung yang menghadiri program ilmu mingguan di Akademi Ilmi.

Sumbangan itu disampaikan oleh pengasas Momentum Iyziq Sdn Bhd, Mohd Najib Asaddok serta Datuk Ilaiaraja Sagadewan dan isterinya, DatinSumitra daripada Nuetra Sdn Bhd kepada pengasas Akademi Ilmi, Ustaz Wadi Anuar.

Menurut Wan Ahmad, buggy yang disumbangkan itu merupakan model keluaran GVT Sdn Bhd yang dibangunkan khusus untuk pasaran eksport Amerika Syarikat.

"Apa yang lebih istimewa, buggy yang disumbangkan itu merupakan model yang dibangunkan untuk pasaran eksport ke Amerika Syarikat, sekali gus membuktikan bahawa produk bertaraf antarabangsa keluaran tempatan juga mampu dimanfaatkan untuk kebajikan masyarakat.

"Sumbangan ini mencerminkan falsafah syarikat bahawa kejayaan sesebuah organisasi bukan hanya diukur melalui pertumbuhan perniagaan, tetapi juga melalui manfaat yang mampu dikembalikan kepada masyarakat," katanya.

Beliau berharap sumbangan berkenaan dapat membantu memudahkan urusan ribuan pencinta ilmu dari seluruh negara yang menghadiri program di Akademi Ilmi setiap minggu, sejajar dengan komitmen syarikat untuk memastikan teknologi dan inovasi turut memberi nilai kepada komuniti.

Must Watch Video

Advertisement