Ringkasan AI
- Kerajaan akan semak semula SOP Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman (BKHT) pada Januari 2027 untuk mempercepat kelulusan bantuan mangsa konflik manusia-hidupan liar.
- RM12.7 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan BKHT dari 2024 hingga 2026, dengan 740 pemohon menerima manfaat berjumlah RM3.6 juta setakat September lalu.
- Dewan Rakyat meluluskan anggaran perbelanjaan NRES 2027 sebanyak RM2.5 bilion, termasuk peruntukan untuk perubahan iklim dan sistem amaran awal cuaca.
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman (BKHT) pada Januari 2027 bagi mempercepat proses kelulusan bantuan kepada mangsa konflik manusia dan hidupan liar.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh berkata ketika ini, tempoh penyelesaian permohonan lengkap yang memenuhi syarat ditetapkan ialah antara 44 hingga 72 hari.
Beliau berkata BKHT ialah bantuan kewangan secara sekali bayar dan bukannya pampasan atau ganti rugi kepada individu yang mengalami kerosakan harta benda serta kemusnahan tanaman akibat serangan hidupan liar.
“Bagaimanapun, pihak kementerian akan membuat semakan semula SOP supaya proses kelulusan ini dapat dipercepat pada masa hadapan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Dewan Rakyat pada Rabu.
Syed Ibrahim berkata kerajaan memperuntukkan RM12.7 juta bagi pelaksanaan BKHT sepanjang 2024 hingga 2026, dengan sebanyak 740 pemohon menerima manfaat berjumlah RM3.6 juta setakat September lepas.
Pada 2024, sebanyak 246 orang menerima bantuan berjumlah RM987,000 diikuti 314 penerima dengan RM1.497 juta pada 2025 manakala setakat September 2026, sejumlah 180 individu menerima RM1.2 juta.
Bagaimanapun, beliau berkata peningkatan bantuan kewangan sahaja tidak mencukupi sekiranya punca konflik antara manusia dan hidupan liar tidak ditangani secara menyeluruh.
Syed Ibrahim berkata kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri diperlukan khususnya dalam memantau perubahan guna tanah yang boleh menyebabkan pencerobohan habitat hidupan liar serta mencetuskan konflik dengan penduduk setempat.
Dalam pada itu, beliau berkata dua RUU berkaitan perubahan iklim negara hanya akan dibentang di Parlimen selepas kerajaan mencapai konsensus bersama dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak menerusi sesi libat urus yang akan diteruskan pada 2027 selaras keputusan Kabinet pada 15 Julai lepas.
Syed Ibrahim berkata empat sesi libat urus RUU Perubahan Iklim Negara dan RUU Pihak Berkuasa Perubahan Iklim Negara telah diadakan bersama dengan Kerajaan Negeri Sarawak antara Ogos hingga Oktober lepas manakala sesi lanjut termasuk dengan Kerajaan Negeri Sabah akan diteruskan pada 2027.
Beliau berkata kerangka perundangan berkenaan penting bagi memperkukuh tadbir urus perubahan iklim negara termasuk pelaksanaan dasar pasaran karbon kebangsaan, mekanisme pematuhan, pendaftaran serta pengukuran dan pengesahan perdagangan karbon.
“Dalam pada itu, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM3 juta bagi 2027 untuk pembangunan dokumen teknikal dan infrastruktur sokongan berkaitan pelaksanaan RUU perubahan iklim serta Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan.
“Peruntukan itu termasuk pembangunan garis panduan pemantauan, pelaporan dan pengesahan pelepasan gas rumah hijau bagi sektor ekonomi yang ditetapkan sekali gus membantu industri meningkatkan kesiapsiagaan terhadap keperluan perundangan perubahan iklim,” katanya.
Syed Ibrahim berkata kerajaan turut memperuntukkan RM56.48 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 bagi melaksanakan enam projek untuk memperkukuh sistem pemantauan, ramalan dan amaran awal cuaca MetMalaysia.
Beliau berkata projek itu meliputi kerja menaik taraf radar dan stesen pencerapan cuaca, memodenkan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi serta meningkatkan keupayaan ramalan menerusi penggunaan kecerdasan buatan, analitik data raya dan teknologi pengkomputeran berprestasi tinggi bagi mendepani fenomena El Nino serta risiko jerebu.
Terdahulu, ketika sesi perbahasan, majoriti Ahli Parlimen membangkitkan isu pengurusan konflik manusia dan hidupan liar termasuk pampasan kerugian akibat serangan haiwan serta isu perubahan iklim.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan 2027 berjumlah RM2,508,821,500 yang diperuntukkan kepada NRES dalam Belanjawan 2027 dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 24 Ahli Parlimen.
-- BERNAMA