Skip to main content

Dunia

Puluhan ribu sertai mogok umum Sepanyol, rusuhan tercetus di Barcelona

Orang ramai menyertai mogok umum selama 24 jam di Madrid, Sepanyol, bagi menuntut gaji yang menurut penunjuk perasaan mencukupi untuk membolehkan mereka mendapatkan perumahan yang mampu milik dan kehidupan yang lebih baik. - Foto REUTERS
Orang ramai menyertai mogok umum selama 24 jam di Madrid, Sepanyol, bagi menuntut gaji yang menurut penunjuk perasaan mencukupi untuk membolehkan mereka mendapatkan perumahan yang mampu milik dan kehidupan yang lebih baik. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Sepanyol mengalami gangguan besar perkhidmatan awam dan pengangkutan apabila puluhan ribu rakyat sertai mogok umum membantah isu perumahan dan kos sara hidup.
  • Demonstrasi di Madrid dan Barcelona menarik lebih 170,000 peserta, dengan insiden tegang di Barcelona menyebabkan pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis.
  • Kementerian Dalam Negeri mengesahkan puluhan individu ditahan, manakala beberapa lebuh raya utama turut ditutup akibat sekatan jalan raya oleh penunjuk perasaan.
Advertisement

MADRID: Sepanyol berdepan gangguan besar terhadap perkhidmatan awam dan pengangkutan pada Rabu apabila puluhan ribu rakyat menyertai mogok umum pertama negara itu dalam tempoh 14 tahun bagi membantah isu perumahan dan peningkatan kos sara hidup.

Di Madrid, kira-kira 120,000 orang menyertai demonstrasi, manakala lebih 50,000 berhimpun di Barcelona.

Namun, tunjuk perasaan di Barcelona bertukar tegang apabila berlaku pertempuran antara kumpulan penunjuk perasaan dan polis.

Advertisement

Rakaman di lokasi menunjukkan individu bertopeng membakar tong sampah serta memecahkan tingkap premis perniagaan, manakala polis bertindak melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan kumpulan terbabit.

Kementerian Dalam Negeri Sepanyol memaklumkan berpuluh-puluh individu ditahan susulan pelbagai insiden sepanjang protes itu.

Advertisement

Beberapa lebuh raya utama di Madrid dan wilayah Catalonia turut dilaporkan ditutup akibat sekatan jalan raya oleh penunjuk perasaan.

Mogok itu dianjurkan oleh kesatuan pekerja utama negara sebagai bantahan terhadap krisis perumahan yang semakin meruncing dan kos kehidupan yang meningkat.

Kemarahan orang ramai memuncak selepas pengusiran seorang wanita berusia 87 tahun, Maricarmen Abascal, dari kediamannya di Madrid yang didiaminya selama lebih tujuh dekad.

Wanita itu meninggal dunia di hospital beberapa minggu kemudian.

Harga sewa rumah di Madrid terus meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kos purata sebuah apartmen kecil mencecah 1,170 euro sebulan, hampir separuh daripada purata gaji bulanan rakyat Sepanyol.

Ketika negara bersiap sedia menghadapi pilihan raya parlimen pada 29 November ini, isu perumahan menjadi antara fokus utama kempen politik.

Perdana Menteri Pedro Sanchez mempertahankan hak pekerja untuk menyertai mogok, manakala Parti Rakyat (PP) pembangkang menuduh kerajaan menggunakan protes berkenaan bagi meraih sokongan politik menjelang pilihan raya.

Menurut BBC, pemimpin kesatuan pekerja mendakwa penyertaan dalam mogok kali ini sangat menggalakkan, sekali gus mencerminkan kemarahan rakyat terhadap kos hidup yang semakin membebankan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement