Skip to main content

Dunia

Suruhanjaya Eropah kemuka pelbagai langkah lindungi pengguna dalam talian

Pakej perundangan komprehensif itu antara lain bertujuan memperkukuh hak pengguna berkaitan penjualan tiket, pembelian dalam talian dan permainan digital. - Gambar hiasan
Pakej perundangan komprehensif itu antara lain bertujuan memperkukuh hak pengguna berkaitan penjualan tiket, pembelian dalam talian dan permainan digital. - Gambar hiasan

Ringkasan AI

  • Suruhanjaya Eropah mencadangkan undang-undang baharu untuk memudahkan pembatalan langganan dan memperkukuh hak pengguna dalam transaksi dalam talian.
  • Cadangan ini turut membanteras taktik mengelirukan seperti "dark patterns" dan penipuan stok palsu oleh syarikat dalam platform digital.
  • Langkah tersebut akan diteliti oleh negara anggota EU dan Parlimen Eropah sebelum diluluskan sebagai undang-undang.
Advertisement

BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah mahu memudahkan pengguna membatalkan langganan dalam talian menerusi cadangan menyeluruh yang diumumkan pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pakej perundangan komprehensif itu turut bertujuan memperkukuh hak pengguna berkaitan penjualan tiket, pembelian dalam talian dan permainan digital, selain membanteras taktik mengelirukan yang digunakan oleh syarikat.

Pesuruhjaya Perlindungan Pengguna Kesatuan Eropah (EU) Michael McGrath, yang membentangkan Akta Keadilan Digital (DFA), menyifatkannya sebagai pembaharuan paling penting terhadap undang-undang perlindungan pengguna Eropah dalam tempoh lebih 20 tahun.

Advertisement

"Kami menjangkakan semua langkah ini dapat menjimatkan sehingga €13.7 bilion (AS$15.3 bilion) setahun kepada pengguna EU," katanya kepada pemberita.

Brussels mahu melindungi pengguna khususnya daripada manipulasi menerusi “dark patterns” iaitu elemen reka bentuk yang bertujuan mempengaruhi tingkah laku pengguna sehingga mereka secara tidak sengaja memilih pilihan yang menguntungkan penyedia perkhidmatan.

Advertisement

Menurut cadangan itu, syarikat tidak lagi dibenarkan menggunakan ayat seperti "kami berasa sedih melihat anda pergi" ketika pengguna ingin membatalkan langganan.

Suruhanjaya itu berkata proses pembatalan kontrak tidak sepatutnya jauh lebih rumit berbanding proses pendaftaran malah beberapa klik sahaja sepatutnya mencukupi.

Taktik mewujudkan tanggapan bahawa sesuatu produk hampir kehabisan stok secara palsu, seperti penggunaan frasa "Hanya tinggal dua unit dalam stok", turut dicadangkan untuk diharamkan.

Bagi pembelian tiket acara seperti konsert, jumlah tiket yang ditawarkan pada harga terendah dan tertinggi perlu dinyatakan bagi menangani amalan menaikkan harga secara melampau menerusi model penetapan harga dinamik.

Amalan itu merujuk kepada perubahan harga berdasarkan permintaan, masa pembelian atau tempat duduk yang masih tersedia.

Kesemua langkah itu kini akan diteliti oleh negara anggota EU dan Parlimen Eropah sebelum boleh diluluskan sebagai undang-undang. Proses mencapai persetujuan terhadap pakej secara menyeluruh mungkin mengambil masa beberapa bulan bahkan beberapa tahun.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement