Bekalan barangan keperluan di negara ini masih mencukupi di sebalik pembelian panik rakyat sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) hari ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kerajaan telah memberi arahan kepada kementerian bertanggungjawab seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK); dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk memastikan bekalan barangan keperluan sentiasa mencukupi.

"Tidak timbul masalah (kurang barang keperluan) kerana kita dapat bekalan lebih daripada mencukupi, jadi (rakyat) tidak perlu panik, beli seperti biasa dan bekalan itu sentiasa disediakan.

"Saya lihat ada sesetengah itu mungkin ambil kesempatan sebelum tarikh (GST) mula dikuat kuasa sampai rak di pasar raya kering kontang dibuat begitu, saya tidak fikir perlu dibuat begitu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan Pelan Pembangunan POLYGreen Politeknik Malaysia iaitu sebuah pelan pelaksanaan dan hala tuju strategik bagi amalan teknologi hijau di politeknik seluruh negara di Politeknik Merlimau di sini.

Mengulas pelaksanaan GST hari ini, Muhyiddin berharap pelaksanaan sistem itu akan berjalan lancar, walaupun terdapat masalah pelaksanaan kecil yang tidak dapat dielakkan.

Beliau berkata dalam melaksanakan sesuatu sistem buat pertama kali, masalah kecil dari segi pelaksanaan itu tidak dapat dielakkan ditambah dengan sistem GST negara ini yang mengecualikan dan mensifarkan kadar CBP untuk barangan tertentu.

"Jadi bila ada pengecualian ini hendak laksanakan itu, ada setengah (barang) kena (ada yang) tidak kena.

Bagaimana pihak juruwang tentukan kadar ditetapkan tadi tidak salahi peraturan dan undang-undang, pengalaman (pelaksanaan GST) ini kita kumpul dan tambah baik," katanya.

Muhyiddin berkata mereka yang tidak jelas atau menghadapi sebarang masalah mengenai GST dan menemui peniaga yang cuba mengaut keuntungan secara tidak bertanggungjawab menggunakan alasan GST supaya mengemukakan aduan segera kepada pihak berkaitan seperti KPDNKK.

"Hebahan media juga perlu membantu menjelaskan bahawa GST ini suatu sistem yang lebih teratur dan kemas yang dilaksanakan di banyak negara," katanya.