KUALA LUMPUR: H.R. Owen, kumpulan pengedar kereta mewah utama di United Kingdom (UK) menambah Lotus ke dalam barisan jenama kereta mewah dan paling berprestasinya bagi pengedaran di negara itu.

Kerjasama ini merupakan satu pencapaian penting, kerana H.R. Owen menjadi peruncit terbaharu bagi jenama Lotus di UK, memperkenalkan model seperti Evija, Emira, Eletre dan Emeya yang baru diperkenalkan kepada pelanggannya.

"Di H.R. Owen, menjadi visi pengasas Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan, agar kami terus membariskan diri kami dengan jenama yang menonjolkan kemewahan dan prestasi tinggi," kata Ketua Pegawai Eksekutif H.R. Owen, Ken Choo dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata komitmen Lotus terhadap inovasi dan pengenalan model kereta elektrik seperti Emeya selaras dengan visi kumpulan dan syarikat itu amat teruja untuk menawarkan kenderaan "luar biasa" ini kepada pelanggan.

Bilik pameran terbaharu Lotus terletak di Hatfield, pusat pengedaran utama kereta mewah pelbagai jenama H.R. Owen yang termasuk Ferrari, Lamborghini, Maserati dan Bentley.

Foto H.R. Owen

Ketua pegawai komersial Lotus Mike Johnstone berkata reputasi global H.R. Owen serta pelanggannya yang arif berkenaan kereta menjadikan ia rakan kongsi baharu yang ideal untuk Lotus di UK.

"Bilik pameran di Hatfield itu terletak di lokasi yang sangat sesuai di bahagian utara London dan bakal menarik pelanggan dari bahagian tenggara England," katanya.

H.R. Owen mempunyai sejarah lebih daripada 90 tahun dalam penjualan dan servis kereta mewah dan telah membina reputasi dalam perkhidmatan pelanggan dengan dua pengedarnya dinamakan yang terbaik di dunia oleh pengeluar masing-masing pada 2023 sahaja - Rolls-Royce Motor Cars London dan Lamborghini Manchester.

Foto H.R. Owen

--BERNAMA