BISNES
Hanya potensi? 87 peratus pelaburan telah direalisasikan - Tengku Zafrul

Jelas Tengku Zafrul, sebaik syarikat memberi komitmen untuk melabur, ia akan dikategorikan sebagai potensi pelaburan dan dipantau oleh Jawatankuasa Task Force Pemudahcara Pelaburan (JT3P). - Foto fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sebanyak 87 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan sejak tahun 2021 telah pun direalisasikan dan dilaksanakan setakat suku pertama 2025.
Ringkasan AI
- 87 peratus pelaburan yang diluluskan sejak 2021 telah dilaksanakan menjelang suku pertama 2025, membuktikan keberkesanan pendekatan kerajaan dalam menarik dan memudah cara pelaburan.
- Kerajaan menekankan pemantauan berterusan dari rundingan awal hingga pelaksanaan, termasuk penglibatan langsung Perdana Menteri dalam meyakinkan pelabur antarabangsa.
- Malaysia catat rekod pelaburan tertinggi pada 2023 dan 2024, hasil promosi agresif sebagai destinasi pelaburan, dengan fokus terhadap impak ekonomi sebenar kepada rakyat.
“87 peratus ya. Bukan 8 peratus, bukan 18 peratus, tapi 87 peratus. Ini menunjukkan keberkesanan usaha kita,” katanya menerusi video berdurasi 2.30 minit yang dimuat naik di laman sosial beliau.
Penjelasan itu dilihat sebagai maklum balas terhadap dakwaan kononnya lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara hanya menghasilkan pengumuman potensi pelaburan tanpa hasil nyata.
Menurut beliau, setiap misi pelaburan dan perdagangan yang diketuai Perdana Menteri dan kementeriannya sentiasa dipantau secara rapi, bermula dari rundingan awal sehingga pelaksanaan projek.
“Setiap kali Perdana Menteri pergi luar negara, mesti umum potensi pelaburan dan perdagangan. Tapi hasilnya tak nampak pun. Betul ke?
“Dari potensi hinggalah realisasi, setiap langkah sentiasa dipantau. Perdana Menteri dan saya sendiri akan berjumpa dengan pengurusan tertinggi syarikat-syarikat gergasi dunia untuk yakinkan mereka melabur di Malaysia,” katanya.
Jelas Tengku Zafrul, sebaik syarikat memberi komitmen untuk melabur, ia akan dikategorikan sebagai potensi pelaburan dan dipantau oleh Jawatankuasa Task Force Pemudahcara Pelaburan (JT3P).
“Mereka akan adakan libat urus lanjut dengan syarikat terlibat untuk memudah cara kemasukan pelaburan ke Malaysia. Kita bantu dari segi pengemukaan permohonan pelaburan, namun hanya yang memenuhi semua syarat sahaja akan diluluskan,” katanya.
Mengulas jumlah pelaburan yang diluluskan sejak tahun 2022, beliau berkata usaha agresif kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan telah membuahkan hasil memberangsangkan.
“2022, kita catat RM267.8 bilion. Tahun 2023 meningkat kepada RM329.5 bilion, manakala 2024 pula mencecah RM384.4 bilion, dua tahun tertinggi dalam sejarah.
“Kalau kita tak usaha gila-gila untuk promosi pelaburan, macam mana nak pecah rekod macam ini?” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan tidak hanya menumpukan kepada angka komitmen semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada pelaksanaan agar setiap pelaburan membawa manfaat sebenar kepada ekonomi negara dan rakyat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami