Skip to main content

Malaysia

TVET 2.0: PM arah KSN selaras latihan bidang baharu seperti AI, kripto

Sumber: Astro AWANI
Perdana Menteri Anwar mendengar penerangan daripada seorang peserta pada Sambutan Hari TVET 2.0 di Dataran Putrajaya, Putrajaya, pada Sabtu. Hadir sama Ahmad Zahid. - Gambar Astro AWANI

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) menyelaras pelaksanaan program latihan melibatkan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan tenaga mahir dalam bidang teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), kripto dan peralihan tenaga.

Perdana Menteri berkata, semua badan latihan dan institusi pendidikan kerajaan akan diwajibkan mulai bulan depan menyediakan peluang latihan awal kepada pelajar terpilih daripada institusi TVET bagi menguasai bidang-bidang strategik yang sedang berkembang pesat.

“Saya mahu pastikan dan KSN (Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar) akan menjelaskan supaya semua badan latihan pendidikan kerajaan diwajibkan mulai bulan depan berikhtiar memberi peluang latihan awal kepada antara 50 hingga 100 orang di setiap institusi TVET yang terpilih.

“Mereka akan didedahkan kepada bidang yang benar-benar baharu seperti AI, kripto dan peralihan tenaga sebelum ditempatkan di institusi penyelidikan dan latihan berkaitan termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), pusat kripto serta badan-badan pendidikan di bawah Majlis Sains Negara,” katanya.

Perdana Menteri berucap ketika merasmikan Sambutan Hari TVET 2.0 di Dataran Putrajaya, di sini, pada Sabtu.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET (MTVET) Negara.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, KSN dijangka memanggil semua institusi pendidikan berkaitan dalam masa terdekat bagi menetapkan jumlah pelajar TVET yang akan dipilih bagi mengikuti kursus tambahan dan latihan pengkhususan tersebut.

Perdana Menteri menambah, langkah itu berupaya meningkatkan nilai dan kebolehpasaran graduan TVET sehingga mampu memperoleh pendapatan yang lebih tinggi.

“Ini bermakna lulusan TVET yang terpilih itu dengan sendirinya terangkat melebihi daripada ijazah Sarjana Muda. Maka sewajarnya upah dan gaji mereka harus dipastikan lebih daripada apa yang diperoleh oleh mana-mana siswazah yang memiliki ijazah Sarjana Muda,” jelas Anwar.

Perdana Menteri berkata, inisiatif itu merupakan usaha tambahan kerajaan bagi memanfaatkan pelaburan besar yang telah disalurkan kepada sektor penyelidikan dan pembangunan.

Katanya lagi, langkah berkenaan penting bagi memastikan negara mempunyai kumpulan bakat berkemahiran tinggi yang bersedia memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Mengangkat tema “TVET Pilihan Utama Kerjaya”, hari TVET 2.0 berlangsung selama tiga hari hingga Ahad bermula 9 pagi hingga 10 malam, menghimpunkan lebih 107 agensi, institusi dan pemain industri daripada sembilan sektor utama.
 

Must Watch Video

Advertisement