Harga purata jualan telefon bimbit keluaran Samsung Electronics Co. meningkat pada suku kedua tahun ini, sekaligus mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun.

Menurut data dikeluarkan Analytics Strategi, keadaan itu dibantu oleh keluaran model Galaxy S8, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Harga jualan purata telefon bimbit Samsung mencecah US$235 dalam tempoh April hingga Jun.

Sebelum ini, harga purata telefon pintar mengalami kejatuhan memandangkan syarikat itu terus melancarkan pelbagai model telefon bajet untuk memasuki pasaran baharu.

Selepas mencecah AS$289 pada 2013, harga purata jatuh kepada AS$232 tahun lepas.

Sepanjang separuh kedua 2016, harga purata telefon bimbit dengan dilengkapi kemudahan Evolusi Jangka Panjang (LTE), menurun kepada AS$227, ekoran pengeluaran model Galaxy Note 7 yang terpaksa digantung akibat masalah bateri.

Pemerhati industri berkata, kebangkitan terbaharu itu kemungkinan dijana oleh prestasi model Galaxy S8 yang berada di pasaran awal tahun ini.

Strategy Analytics menganggarkan gabungan jualan Galaxy S8 dan Galaxy S8 Plus pada suku kedua berupaya mencecah 19.2 juta unit.

Tempoh April hingga Jun, Samsung menjual 93 juta unit telefon bimbit, menguasai 21 peratus pasaran global.

-- BERNAMA