KUALA LUMPUR: Jumlah hasil keseluruhan sektor perkhidmatan bagi 2023 adalah RM2.3 trilion, meningkat 8.4 peratus daripada RM2.1 trilion pada 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi itu disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong dan runcit; pengangkutan dan penyimpanan; serta maklumat dan komunikasi masing-masing meningkat 7.7 peratus (+RM119.1 bilion); 15.8 peratus (+RM20.4 bilion); dan 5.3 peratus (+RM8.6 bilion) berbanding angka pada 2022.

"Namun begitu, terdapat beberapa subsektor yang masih belum melepasi nilai hasil sebelum pandemik (2019) iaitu makanan dan minuman (-1.4 peratus); kesenian, hiburan dan rekreasi (-24.4 peratus); dan perkhidmatan persendirian dan lain-lain aktiviti (-23.9 peratus).

"Ini berikutan terdapat beberapa aktiviti berkaitan industri pelancongan yang masih dalam fasa pemulihan selepas pembukaan sempadan antarabangsa bermula 1 April 2022 dan belum melepasi paras prapandemik," katanya dalam kenyataan mengenai Prestasi Sektor Perkhidmatan dan Pendapatan E-dagang, Suku Tahun Keempat 2023 yang dikeluarkan pada Khamis.

Mohd Uzir berkata nilai keseluruhan pendapatan e-dagang pada 2023 pula meningkat 4.9 peratus kepada RM1.2 trilion daripada angka pada tahun sebelumnya.

"Pendapatan e-dagang mencatatkan nilai sebanyak RM291.9 bilion, iaitu meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2023. Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, pendapatan e-dagang meningkat secara marginal sebanyak 0.8 peratus," katanya.

Sementara itu, menerusi kenyataan berasingan mengenai Indeks Volum Perkhidmatan, Malaysia Suku Tahun Keempat 2023 pula, beliau berkata indeks volum perkhidmatan meningkat 4.1 peratus tahun ke tahun dengan mencatatkan 148.5 mata pada suku keempat 2023.

Angka itu sekali gus menjadikan prestasi tahunan bagi 2023 meningkat 5.6 peratus berbanding tahun 2022, katanya.

Beliau berkata bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun pula, indeks itu naik 0.6 peratus.

"Prestasi indeks volum perkhidmatan bagi suku tahun ini dipacu oleh kenaikan segmen perdagangan borong dan runcit; makanan dan minuman serta penginapan yang meningkat 4.2 peratus berbanding tahun lepas.

"Diikuti oleh segmen maklumat dan komunikasi; serta pengangkutan dan penyimpanan (6.6 peratus), segmen perkhidmatan lain (7.0 peratus) dan segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan (1.0 peratus)," katanya.

-- BERNAMA