KUALA LUMPUR: Malaysia terus memperkasa aspirasi untuk menjadi hab inovasi dan industri teknologi perubatan atau MedTech di rantau ASEAN menerusi penganjuran International Medical Device Exhibition and Conference (IMDEC) 2026.
Bertemakan “Revolutionizing Medical Technology: Powering Tomorrow’s Era of Healthcare”, IMDEC 2026 berlangsung dari 26 hingga 28 Ogos di Dewan 4 dan 5, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), menghimpunkan pemain industri, pengawal selia, pelabur, penyelidik, organisasi penyelidikan serta profesional kesihatan dalam satu platform.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Datuk TS Dr. Muralitharan Paramasua, berkata IMDEC menjadi wadah penting untuk memperkenalkan produk peranti perubatan berteknologi tinggi buatan tempatan kepada pasaran global, selain membuka peluang kepada usahawan mendapatkan rakan strategik dan pelaburan baharu.
“Ya, objektif penganjuran IMDEC adalah untuk kita menghimpunkan pihak berkepentingan, peranti perubatan, pelabur dan juga pemain industri diikuti akademia dan organisasi penyelidikan.
“Semua dihimpunkan dalam satu platform utama dalam negara untuk kita memperkenalkan produk-produk peranti perubatan yang berteknologi tinggi, terutamanya kepada warga tempatan sekali gus membantu usahawan tempatan untuk mempromosikan peranti perubatan yang telah dihasilkan oleh mereka kepada pihak global.
“Sebab IMDEC 2026 juga menghimpunkan regulator ataupun pihak berkuasa daripada luar negara termasuk juga pembeli-pembeli daripada luar negara jadi ini akan memberi satu peluang kepada pengusaha tempatan untuk mempromosikan produk ini dan juga mencari rakan kongsi baharu ataupun pelaburan baharu untuk produk mereka,” katanya ketika ditemui pada hari kedua IMDEC 2026, di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, pencapaian IMDEC 2024 yang merekodkan kira-kira 30,000 pengunjung dan potensi pelaburan RM550 juta menunjukkan keupayaan platform itu dalam memperkukuh jaringan industri serta menarik pelaburan ke sektor peranti perubatan.
Bagi edisi 2026, MDA menjangkakan kira-kira 20,000 pengunjung, susulan skala penganjuran yang lebih besar serta penyertaan pameran antarabangsa.
Dalam masa sama, MDA terus menekankan aspek keselamatan dan pematuhan kawal selia, khususnya ketika semakin banyak teknologi dan peranti perubatan baharu diperkenalkan kepada pasaran.
“Ya, setiap peranti perubatan perlu melalui satu proses penilaian dan pengujian yang dijalankan oleh MDA.
“MDA akan menilai berdasarkan kepada ujian-ujian dan penilaian pematuhan yang telah dijalankan.
“Jadi setiap produk ini akan melalui satu proses penilaian dan juga akan ditentukan kesahihan produk tersebut.
“Selepas didaftarkan atau selepas disahkan iaitu selamat digunakan oleh MDA, baru produk itu akan dilancarkan, akan diletakkan dalam pasaran ataupun digunakan oleh mana-mana pihak.
“Jadi saya rasa tiada keraguan dari segi penilaian yang dibuat oleh kerajaan ataupun daripada MDA di mana kita telah mempunyai specialist kita yang akan menjalankan semua perkara yang berkaitan dengan penilaian ini,” tambahnya.
Sehubungan itu, MDA turut menasihatkan pengguna supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan kesihatan yang tular di media sosial dan memastikan status pendaftaran sesuatu peranti disemak terlebih dahulu menerusi sistem pendaftaran MDA.
Pengguna juga disaran memastikan produk dibeli daripada wakil atau pengedar yang sah dan berdaftar dengan MDA, terutama bagi produk yang mendakwa menawarkan manfaat kesihatan tertentu.
Selain mempamerkan teknologi terkini, IMDEC 2026 turut memberi tumpuan kepada pelaburan strategik, penyelidikan dan pembangunan (R&D), kerjasama awam-swasta serta penyelarasan kawal selia bagi memperkukuh ekosistem MedTech yang berdaya tahan.
Seiring aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), MDA mahu Malaysia beralih daripada negara pengguna kepada negara pengeluar peranti perubatan berteknologi tinggi, termasuk membangunkan keupayaan menghasilkan teknologi seperti mesin MRI, ultrabunyi dan sinar-X dalam negara.
Menurut Muralitharan, usaha itu turut disokong melalui pemberian geran kepada usahawan tempatan, kerjasama dengan SME Bank bagi akses kepada dana serta kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memperluas penyelidikan dan menghasilkan lebih banyak produk berteknologi tinggi.
Peralihan daripada “Made in Malaysia” kepada “Made by Malaysia” itu dilihat penting bagi meningkatkan keupayaan tempatan, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pengeluar dan hab inovasi peranti perubatan yang lebih berdaya saing di peringkat serantau dan global.