Skip to main content

Malaysia

Pupuk budaya menabung dan literasi kewangan sejak usia muda, tingkat pendapatan - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan gimik perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia 2026 di Stadium Merdeka di ibu negara hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan gimik perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia 2026 di Stadium Merdeka di ibu negara hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan amalan menabung dan literasi kewangan sejak muda untuk membentuk generasi berdisiplin mengurus kewangan.
  • Program Celik MADANI dan Kelab Pelaburan Bijak PNB telah melibatkan lebih 1.58 juta pelajar dalam usaha meningkatkan kesedaran kewangan.
  • ASNB mengekalkan pengagihan pendapatan 5.75 sen seunit bagi ASB, melibatkan pembayaran RM10.4 bilion kepada kira-kira 11 juta pemegang unit.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Amalan budaya menabung dan literasi kewangan perlu dipupuk sejak usia muda bagi melahirkan generasi yang berdisiplin dalam mengurus kewangan.

Ketika membuat gesaan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemupukan amalan sedemikian juga dapat mengelak sikap boros selain meningkatkan pendapatan.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan usaha Permodalan Nasional Bhd (PNB) melalui Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) dalam meningkatkan tahap tabungan masyarakat sebagai antara inisiatif untuk menggalakkan pembinaan simpanan serta menambah pendapatan melalui pulangan pelaburan.

Advertisement

“Antara ikhtiar melalui PNB dan ikhtiar tambahan Amanah Saham Nasional dapat menaikkan lantai menabung supaya pendapatan bertambah.

“Kita tumpu kepada anak-anak dalam kalangan muda. Belajar menabung kerana (jika sewaktu) kecil tidak menabung, tidak diajar untuk cermat, apabila dewasa dia boros,” kata beliau ketika merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Stadium Merdeka di sini, hari ini.

Advertisement

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bagi tempoh 2025 sehingga Oktober lepas, sebanyak 280,000 pelajar telah menyertai Program Celik MADANI yang diluncurkan beliau sejak 2024.

Di samping itu, Perdana Menteri berkata Kelab Pelaburan Bijak PNB pula telah berjaya menjangkau lebih daripada 1.3 juta pelajar di hampir 500 sekolah sejak penubuhannya pada 2001. 

Beliau turut menyentuh kejayaan ASNB yang juga syarikat pengurusan unit amanah milik penuh PNB yang mengekalkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit bagi dana utama, Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2025.

Pengagihan itu melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM10.4 bilion kepada kira-kira 11 juta pemegang unit berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan bahawa penubuhan ASNB adalah bagi memastikan kepentingan Bumiputera terus dipelihara.

“Kerajaan MADANI berusaha untuk meletakkan prinsip tatakelola sebagai satu paksi kekuatan utama.

“Sebab itu saya menyatakan penghargaan sekurang-kurangnya dalam soal mengelola Amanah Saham Malaysia ini...kita yakin ia dipegang dan diuruskan oleh profesional kita yang berwibawa dan membela nasib kita,” katanya.

Dalam pada itu, turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi Kumpulan PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement