Skip to main content

Malaysia

Pemulihan elektrik di daerah Pantai Timur Sabah cecah 60 peratus - COO Sabah Electricity

Ketua Pegawai Operasi Sabah Electricity Ir Mohd Riza Zalmee Mohd Ghazali (kanan) berbincang dengan kakitangan ketika meninjau pembinaan menara sementara Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) berhampiran runtuhan menara T313 hari ini. - Foto Bernama
Ketua Pegawai Operasi Sabah Electricity Ir Mohd Riza Zalmee Mohd Ghazali (kanan) berbincang dengan kakitangan ketika meninjau pembinaan menara sementara Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) berhampiran runtuhan menara T313 hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah telah dipulihkan sehingga 60 peratus setakat 1 tengah hari, menurut Ketua Pegawai Operasi Sabah Electricity.
  • Kejadian tumbangnya menara penghantaran akibat hakisan dan banjir menyebabkan gangguan bekalan di lapan daerah, menjejaskan 153,599 pengguna berdaftar.
  • Catuan bekalan elektrik masih diteruskan secara bergilir sementara kerja pemulihan dijangka selesai selewat-lewatnya pada 2 Disember.
Advertisement

RANAU: Bekalan elektrik di beberapa daerah di Pantai Timur Sabah berjaya dipulihkan hingga 60 peratus setakat 1 tengah hari tadi, kata Ketua Pegawai Operasi Sabah Electricity Mohd Riza Zalmee Mohd Ghazali.

Beliau berkata kerja-kerja pemulihan bekalan termasuk membangunkan menara sementara Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) di sini, kini dalam fasa kedua dan pengagihan bekalan di Pantai Timur Sabah sedang dilaksanakan.

Bagaimanapun, Mohd Riza Zalmee berkata hampir separuh daripada keperluan bekalan elektrik Pantai Timur Sabah diperoleh daripada Pantai Barat menyebabkan kawasan itu berdepan dengan kekurangan bekalan apabila talian penghantaran di sini terputus pada Khamis lepas.

Advertisement

“Hampir separuh bekalan di Pantai Timur diambil daripada Pantai Barat, jadi dengan berlakunya krisis pada ketika ini, sebahagian bekalan di Pantai Timur perlu dicatu,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian di kawasan Kampung Sagindai Lama di sini hari ini.

Kejadian pada 6.04 pagi Khamis lepas memutuskan dua litar talian penghantaran dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah, mengganggu bekalan elektrik di lapan daerah dan menjejaskan 153,599 pengguna berdaftar.

Advertisement

Mengulas kejadian itu, Mohd Riza Zalmee berkata rangkaian penghantaran di Pantai Timur Sabah pulih pada 6 petang hari kejadian itu, manakala keseluruhan unit penjanaan di kawasan itu kembali beroperasi sepenuhnya pada 8 malam hari sama.

Sehubungan dengan itu, Sabah Electricity katanya, masih meneruskan catuan bekalan elektrik secara bergilir berikutan kekurangan kapasiti penjanaan yang tersedia, sambil berharap pengguna memahami serta mengikuti jadual aturan catuan ditetapkan.

“Kita sedang cuba pulihkan lebih awal selari dengan  jangkaan awal dinyatakan pihak pengurusan Sabah Electricity. Walaupun kami cuba sedaya upaya dan jika cuaca juga memihak kepada kita, insya-Allah kita mungkin boleh dapat awal.

“Berdasarkan penialaian dan semakan awal kerja-kerja pemulihan masa ini, kita mahu pemulihan dilakukan lebih awal pada 1 Dis ini,” katanya.

Sabah Electricity menyasarkan memulihkan bekalan elektrik itu pada 2 Dis atau lebih awal.

Menara penghantaran elektrik T313 terletak di tebing Sungai Liwagu, Kampung Sagindai Lama, Jalan Ranau-Telupid tumbang berpunca daripada hakisan tapak asas akibat hujan berterusan dan arus deras banjir Sungai Liwagu.

Mohd Riza Zalmee turut menasihatkan pengguna supaya menyemak jadual penggiliran bekalan elektrik bagi membolehkan mereka menguruskan kegunaan elektrik dengan lebih baik untuk keperluan harian mereka.

“Gunalah elektrik secara bijak semasa dalam tempoh catuan ini dan sentiasa cuba dapatkan informasi terkini daripada pihak kami. Sabah Electricity di setiap zon yang terlibat akan sentiasa membantu pihak tuan puan termasuk juga daripada pasukan Careline kami,” katanya.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini di laman Facebook rasmi Sabah Electricity Careline atau menghubungi talian 15444, 088-515000 serta WhatsApp 019-852 5427.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement