Skip to main content

Malaysia

Pastikan pematuhan syarak dalam rantaian bekalan ayam - Zulkifli

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Zulkifli Hasan (tengah) meninjau reban ayam pada Majlis Perasmian Projek Penternakan Ayam Organik di Mukim Teluk Renjuna hari ini. -- fotoBERNAMA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Zulkifli Hasan (tengah) meninjau reban ayam pada Majlis Perasmian Projek Penternakan Ayam Organik di Mukim Teluk Renjuna hari ini. -- fotoBERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • Pematuhan hukum syarak dalam penyembelihan dan pengedaran ayam ditekankan bagi melindungi kepentingan pengguna Islam, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
  • Lebih 6.5 tan ayam mentah dirampas di Puchong kerana disyaki tidak mematuhi kaedah penyembelihan syarak, dengan 12 lelaki warga asing turut ditahan.
  • Projek penternakan ayam organik di Teluk Renjuna oleh YAPEIM membantu komuniti nelayan memperoleh pendapatan alternatif semasa musim Monsun Timur Laut.
Advertisement

TUMPAT: Pematuhan hukum syarak dalam rantaian penyediaan produk ayam, daripada proses penyembelihan sehingga pengedaran perlu dipastikan bagi melindungi kepentingan pengguna Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.

Beliau berkata pihak yang didapati melanggar hukum syarak dan peraturan berkaitan penyembelihan serta pemprosesan ayam akan dikenakan tindakan undang-undang.

“Mana-mana pihak melakukan pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan selaras dengan peraturan dan perundangan yang berkuat kuasa.

Advertisement

“Pihak berkuasa akan menjalankan siasatan menyeluruh dan memastikan kebajikan serta kesucian perkara ini dapat ditangani sebaiknya,” kata beliau kepada Bernama selepas merasmikan Projek Penternakan Ayam Organik di Teluk Renjuna di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan lebih 6.5 tan ayam mentah yang disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak dan keperluan persijilan halal, dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Puchong, Selangor.

Advertisement

Turut ditahan dalam Ops Taring Chiller itu ialah 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyembelihan dan pemprosesan ayam di premis berkenaan.

Operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Pejabat Kesihatan Petaling.

Serbuan itu mendapati premis terbabit disyaki dijadikan lokasi penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar, selain syarikat berkenaan tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Sementara itu, Zulkifli berkata projek penternakan ayam organik di Mukim Teluk Renjuna menjadi sumber pendapatan alternatif kepada komuniti nelayan, khususnya pada musim Monsun Timur Laut apabila keadaan cuaca tidak mengizinkan turun ke laut.

Beliau berkata inisiatif kendalian Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) itu bukan sahaja membuka peluang keusahawanan kepada penduduk, malah membantu menyediakan sumber pendapatan tambahan ketika hasil tangkapan laut terjejas.

Zulkifli berkata projek itu membabitkan 22 peserta dalam kalangan penduduk setempat yang menerima peruntukan RM150,000 daripada YAPEIM, termasuk bimbingan keusahawanan dan pengurusan.

“Setakat ini, lebih 2,000 ekor ayam terjual dan permintaannya juga sangat tinggi, sekali gus menunjukkan impak positif program ini dalam membantu meningkatkan pendapatan peserta,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement