Ringkasan AI
- Kerajaan memperuntukkan RM240 juta bagi penganjuran Sukan SEA 2027 untuk memperkukuh persiapan dan memastikan kelancaran temasya sukan serantau itu.
- Sukan SEA 2027 dijangka memberi impak besar kepada negara serta mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa dengan tema 'Celebrating Unity'.
- Sukan SEA 2027 akan berlangsung di Kuala Lumpur, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang dari 18 hingga 29 September 2027.
SUNGAI PETANI: Peruntukan RM240 juta bagi penganjuran Sukan SEA 2027 dijangka memperkukuh persiapan negara bagi memastikan temasya sukan serantau itu menjadi antara yang terbaik dalam sejarah.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pengumuman peruntukan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kelancaran penganjuran temasya berkenaan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM240 juta untuk penganjuran Sukan SEA 2027.
“Untuk tahun ini, kita sudah pun menggerakkan persiapan bagi memperkukuh penganjuran Sukan SEA 2027 serta memastikan temasya kali ini menjadi antara penganjuran terbaik dalam sejarahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) dan Hari Sukan Negara di Taman Komuniti Lebuh Arked, di sini hari ini.
Katanya, penganjuran temasya sukan berkenaan akan memberikan impak besar kepada negara, khususnya dalam mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
“Kita harap tema yang kita bawa, iaitu ‘Celebrating Unity’ dapat dipamerkan dan ditonjolkan bagi menyemarakkan perpaduan, bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia, tetapi juga menjadikan Malaysia platform untuk menyatupadukan masyarakat, pemimpin dan negara ASEAN serta seluruh dunia,” katanya.
Sementara itu, program KIBAR merupakan inisiatif baharu kementerian berkenaan yang membabitkan 17 siri penganjuran di 17 lokasi seluruh negara.
Program itu menyediakan pelbagai reruai sukan dan aktiviti interaktif kepada pengunjung, selain memperkenalkan jelajah Sukan SEA 2027 sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap temasya berkenaan.
Sukan SEA 2027 akan berlangsung di Kuala Lumpur, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang dari 18 hingga 29 Sept manakala Sukan Para ASEAN (APG) 2027 di Kuala Lumpur dari 17 hingga 23 Okt.
-- BERNAMA