Ringkasan AI
- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan isterinya, Bella Astillah menghadiahkan perjalanan umrah kepada kedua-dua ibu bapa Syed Saddiq.
- Kejutan itu merupakan komitmen dan janji Syed Saddiq kepada ibu bapanya sebelum mendirikan rumah tangga bersama Bella Astillah.
- Ibu bapa Syed Saddiq menyatakan rasa syukur dan penghargaan atas ingatan serta hadiah tersebut daripada pasangan berkenaan.
AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan isterinya, Bella Astillah membuat kejutan menghadiahkan perjalanan umrah kepada kedua-dua ibu bapa Syed Saddiq.
Menerusi video yang dikongsikan di Instagram, pasangan itu dilihat menyerahkan sepucuk surat sebelum memaklumkan hasrat membawa ibu bapanya yang dipanggil Mama dan Abuya menunaikan ibadah tersebut bersama.
“Ini untuk Mama dan Abuya mengerjakan umrah. Hantaran itu adalah salah satu hantaran saya untuk kita tunaikan umrah bersama.
“Tapi rasanya tak sempurna atau cukup kalau Mama dan Abuya tak sertai sekali,” katanya.
Syed Saddiq turut menjelaskan pemberian tersebut merupakan antara komitmen serta janjinya kepada ibu bapa sebelum mendirikan rumah tangga.
“Syukur, rezeki itu pun salah satu komitmen dan janji Saddiq pada Mama dan Abuya sebelum kahwin. Saddiq tak lupa.
“Perlahan-lahan kita cari masa, mungkin insya-Allah bulan satu,” ujarnya.
Kejutan berkenaan disambut penuh kesyukuran oleh bapanya yang mendedahkan mereka sebenarnya turut menyimpan niat membawa Syed Saddiq dan Bella menunaikan umrah selepas selesai urusan perkahwinan.
“Sebenarnya memang niat Abuya dan Mama, setelah kita selesai perjalanan Saddiq dengan Bella ini, kita nak bersyukur.
“Abuya dengan Mama memang nak pergi mengerjakan umrah dan niat hati memang nak bawa Saddiq dan Bella sekali.
“Tapi kali ini Bella dan Saddiq pula yang bawa Abuya dan Mama. Tak sangka Saddiq dan Bella pun ada rasa yang sama. Syukur alhamdulillah,” katanya.
Ibu Syed Saddiq turut menzahirkan penghargaan atas ingatan pasangan tersebut.
“Terima kasih banyak-banyak sayang. Syukur alhamdulillah,” ucapnya.
Untuk rekod, Syed Saddiq dan Bella sah bergelar suami isteri pada 10 Oktober lalu di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.
Pasangan yang dikenali sebagai BASS itu kemudian diraikan dalam majlis resepsi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), diikuti Kenduri Rakyat di Muar, Johor. -- Gempak