Skip to main content

Bisnes

Inflasi keseluruhan Malaysia turun kepada 1.9 peratus pada Jun -- BNM

BNM
Inflasi bahan api runcit yang lebih rendah, khususnya bagi bahan api RON97 dan diesel, menyumbang kepada penurunan inflasi keseluruhan dan teras Malaysia kepada 1.9 peratus pada Jun 2026, menurut Bank Negara Malaysia (BNM). - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Inflasi bahan api runcit yang lebih rendah, khususnya bagi bahan api RON97 dan diesel, menyumbang kepada penurunan inflasi keseluruhan dan teras Malaysia kepada 1.9 peratus pada Jun 2026, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam Sorotan Bulanan bagi Jun 2026 yang dikeluarkan hari ini, bank pusat itu memaklumkan kedua-dua inflasi itu susut kepada 1.9 peratus daripada 2.0 peratus yang dicatatkan pada Mei, sekali gus mencerminkan tekanan kos luaran yang semakin mereda dan inflasi lebih rendah merentasi beberapa barangan teras.

BNM menyifatkan inflasi lebih rendah itu turut menyumbang kepada penurunan dan mencerminkan terutama kesan asas daripada peningkatan inflasi perkhidmatan penstriman pada Jun 2025, seiring dengan inflasi lebih rendah untuk barang kemas dan jam berikutan harga emas global yang susut.

“Indeks Perdagangan Borong dan Runcit turun kepada 3.1 peratus pada Mei 2026 daripada 6.2 peratus pada April manakala pertumbuhan dalam segmen runcit (bagi Jun) bertambah baik kepada 4.4 peratus (April 2026: 3.9 peratus) didorong terutamanya oleh kedai bukan khusus serta jualan bahan automotif runcit di kedai-kedai khusus.

“Bagaimanapun, keadaan ini lebih daripada diimbangi oleh perdagangan borong yang sederhana dan penurunan segmen kenderaan motor yang disumbangkan terutamanya oleh pertumbuhan lebih rendah bagi perdagangan borong khusus lain, perdagangan borong barangan isi rumah dan jualan kenderaan motor yang lebih rendah,” menurutnya.

Selain itu, BNM memaklumkan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan kekal stabil pada 6.4 peratus yang mencerminkan pertumbuhan berterusan dalam pinjaman terkumpul pada 6.0 peratus manakala bon korporat terkumpul 8.1 peratus daripada 8.0 peratus pada Mei 2026.

BNM menyatakan trend pertumbuhan pinjaman perniagaan terus meningkat (7.2 peratus; Mei 2026: 7 peratus), didorong terutamanya oleh pinjaman kepada bukan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), sebahagian besarnya bagi tujuan modal kerja.

“Pinjaman isi rumah terkumpul meningkat sebanyak 5.3 peratus (Mei 2026: 5.5 peratus) berikutan pertumbuhan stabil yang merentas kebanyakan tujuan,” menurutnya.

Bagi kualiti aset bank, BNM menyatakan nisbah pinjaman terjejas kasar dan nisbah pinjaman terjejas bersih secara amnya tidak berubah, masing-masing pada kadar 1.4 peratus dan 1.0 peratus.

Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada tahap berhemat sebanyak 124.6 peratus daripada pinjaman terjejas kasar daripada 124.1 peratus pada Mei lepas.

Menurut BNM, sistem perbankan terus mencatatkan penampan aset mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 149.7 peratus daripada 149.2 peratus pada Mei.

Bagi pasaran kewangan, BNM memaklumkan sentimen pasaran kewangan global terus didorong oleh peningkatan jangkaan pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menaikkan kadar dasar menjelang akhir 2026.

Jangkaan ini disokong oleh data pasaran pekerja yang mengatasi jangkaan, bacaan inflasi yang lebih tinggi dan unjuran ekonomi oleh Fed yang dikemas kini.

“Berikutan perkembangan global ini, ringgit susut nilai sebanyak 2.6 peratus berbanding dolar AS susulan pengukuhan nilai dolar AS,” menurut BNM.

Selain itu, bank pusat itu memaklumkan kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun meningkat sebanyak 4.0 mata asas berikutan terbitan bon bersih lebih tinggi manakala FBM KLCI turun sebanyak 1.1 peratus yang didorong oleh aliran keluar bukan pemastautin.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement