Skip to main content

Dunia

Parlimen Sweden tolak ketua parti pusat sebagai perdana menteri baharu

Undian pada Selasa menandakan cubaan kedua yang gagal untuk melantik perdana menteri baharu sejak Pilihan Raya Umum Sweden pada 13 Sept. - Foto REUTERS
Undian pada Selasa menandakan cubaan kedua yang gagal untuk melantik perdana menteri baharu sejak Pilihan Raya Umum Sweden pada 13 Sept. - Foto REUTERS
Advertisement

HELSINKI: Parlimen Sweden menolak pencalonan Ketua Parti Pusat, Elisabeth Thand Ringqvist, sebagai perdana menteri baharu negara itu pada Selasa, dengan 324 Ahli Parlimen mengundi menentang pencalonannya dan hanya 25 menyokong, lapor Xinhua.

Hanya Ahli Parlimen daripada parti pimpinannya menyokong pencalonan itu, menurut Televisyen Sweden (SVT).

Pada 19 Okt, Speaker Parlimen Andreas Norlen memberi mandat kepada Thand Ringqvist untuk meneroka kemungkinan membentuk kerajaan yang mampu meraih sokongan mencukupi di parlimen.

Advertisement

Selepas berunding dengan ketua-ketua parti lain, beliau memaklumkan kepada speaker pada 26 Okt bahawa syarat-syarat politik untuk membentuk sebuah kerajaan berhaluan tengah tidak wujud.

Walaupun Thand Ringqvist tidak berhasrat menjadi perdana menteri, Norlen pada Khamis lepas mengumumkan beliau tetap menamakan pemimpin itu bagi jawatan berkenaan untuk memuktamadkan usaha pembentukan kerajaan menerusi undian di parlimen. Beliau bersetuju bertanding sebagai calon.

Advertisement

Undian pada Selasa menandakan cubaan kedua yang gagal untuk melantik perdana menteri baharu sejak Pilihan Raya Umum Sweden pada 13 Sept.

Pada 15 Okt, parlimen menolak pencalonan Ketua Parti Demokratik Sosial, Magdalena Andersson.

Norlen sebelum ini berkata sekiranya pencalonan Thand Ringqvist ditolak, Ketua Parti Moderat yang juga Perdana Menteri terdahulu Ulf Kristersson akan diberi mandat untuk meneroka kemungkinan membentuk kerajaan baharu. Beliau diberikan tempoh seminggu bermula 3 Nov hingga 10 Nov untuk melengkapkan rundingan berkenaan.

 --BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement