Skip to main content

Dunia

Banjir, tanah runtuh jejas lebih 1,400 isi rumah di Jawa Timur

Pasukan pengurusan bencana menilai kerosakan, membersihkan jalan raya yang terhalang oleh runtuhan tanah dan menyediakan bekalan bantuan kecemasan untuk penduduk terjejas. - Foto media sosial
Pasukan pengurusan bencana menilai kerosakan, membersihkan jalan raya yang terhalang oleh runtuhan tanah dan menyediakan bekalan bantuan kecemasan untuk penduduk terjejas. - Foto media sosial
Advertisement

JAKARTA: Hujan lebat mengakibatkan banjir dan tanah runtuh di beberapa kampung di Daerah Lumajang, wilayah Jawa Timur, Indonesia, yang menjejaskan 1,417 isi rumah serta mengganggu akses jalan raya dan bekalan elektrik.

Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Berton Panjaitan berkata hujan lebat sejak Ahad menyebabkan sungai melimpah dan benteng pecah, sekali gus mencetuskan banjir dan tanah runtuh di lapan kampung dalam tiga mukim di daerah itu.

"Pemantauan sedang dijalankan di kawasan yang terpencil, rumah-rumah yang berisiko mengalami kerosakan, paras air sungai, jambatan yang dilimpahi air, serta keadaan benteng bagi meramal kemungkinan berlakunya bencana susulan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Advertisement

Berton berkata pasukan pengurusan bencana tempatan sedang menilai kerosakan, membersihkan jalan raya yang terhalang oleh runtuhan tanah dan menyediakan bekalan bantuan kecemasan untuk penduduk yang terjejas, sambil terus memantau kawasan berisiko mengalami bencana lanjut.

Di tempat lain di Jawa Timur, Berton memaklumkan banjir telah menjejaskan 43 isi rumah di lima kampung dalam empat mukim di Daerah Malang pada Isnin.

Advertisement

Kejadian itu menyebabkan kerosakan pada sebuah jambatan dan menjejaskan empat laluan jalan raya, namun banjir kini telah surut dan jalan-jalan tersebut sudah boleh dilalui kenderaan.

Sementara itu, dua orang dilaporkan hilang susulan kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan mewah (glamping) Pelaga Eco Park di Daerah Badung, Bali pada Ahad, selepas hujan lebat.

"Operasi mencari dan menyelamat melibatkan anggota penyelamat, agensi pengurusan bencana, polis, pegawai tentera dan pihak berkuasa tempatan sedang dijalankan untuk mengesan mangsa yang hilang," katanya.

Beliau turut memberikan amaran mengenai potensi bencana susulan berkaitan cuaca memandangkan sebahagian wilayah di Indonesia telah memasuki musim hujan pada November.

Berton menggesa penduduk agar sentiasa memantau amaran cuaca rasmi manakala pihak berkuasa tempatan diminta memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana serta sistem amaran awal.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement