Skip to main content

Dunia

Trump tangguh keputusan besar berhubung perang Iran hingga 2027

Trump (foto) berkata beliau hanya akan membincangkan kemungkinan serangan besar-besaran baharu selepas permulaan tahun hadapan ketika tentera AS pada masa ini hanya melancarkan serangan terhad, termasuk di Pulau Qeshm di Selat Hormuz pada Selasa lalu. -Foto fail/Reuters
Trump (foto) berkata beliau hanya akan membincangkan kemungkinan serangan besar-besaran baharu selepas permulaan tahun hadapan ketika tentera AS pada masa ini hanya melancarkan serangan terhad, termasuk di Pulau Qeshm di Selat Hormuz pada Selasa lalu. -Foto fail/Reuters
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi bayangan bahawa sebarang keputusan besar berhubung perang dengan Iran akan ditangguhkan sehingga 2027, lapor TIME.

Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah laporan bahawa beliau sedang menimbang untuk melancarkan operasi ketenteraan berskala besar baharu dalam konflik yang berlarutan walaupun sebelum ini berulang kali berjanji ia akan berakhir dengan segera.

Trump berkata beliau hanya akan membincangkan kemungkinan serangan besar-besaran baharu selepas permulaan tahun hadapan ketika tentera AS pada masa ini hanya melancarkan serangan terhad, termasuk di Pulau Qeshm di Selat Hormuz pada Selasa lalu.

Advertisement

"Saya akan bercakap dengan anda mengenainya selepas awal tahun. Kita masih ada masa," katanya kepada Reuters ketika ditanya mengenai prospek serangan baharu itu.

Trump turut memberikan reaksi serupa dalam temu bual bersama Fox News dan Axios dengan menegaskan bahawa beliau tidak tergesa-gesa membuat sebarang keputusan mengenai Tehran.

Advertisement

Konflik antara AS dan Iran yang bermula sejak Februari lalu kini berlarutan hampir sembilan bulan meskipun pertempuran berskala besar semakin reda.

Sebelum ini, Trump berjanji perang itu akan tamat sejurus selepas pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November lalu, namun kebuntuan antara kedua-dua negara masih berterusan.

Malah sejak beberapa minggu kebelakangan ini, pendiriannya dilihat beralih antara mengancam Tehran secara terbuka dan menangguhkan serangan baharu atas permintaan sekutu AS di rantau Teluk.

Menurut laporan The New York Times, Israel dilaporkan cuba meyakinkan Trump untuk melancarkan serangan bersama yang baharu selepas Tel Aviv mendakwa Tehran berjaya membina semula simpanan peluru berpandu dan dron serta memajukan program senjata kimia dan biologinya.

Perdana Menteri kerajaan sementara Israel, Benjamin Netanyahu turut dilaporkan mendesak kempen serangan udara selama empat hingga tujuh hari ke atas Iran.

Dalam perkembangan berkaitan, Axios melaporkan bahawa Rumah Putih telah meminta pandangan Pentagon dan pakar perisikan mengenai tindak balas Iran sekiranya serangan dilancarkan, yang berkemungkinan menyasarkan kemudahan nuklear termasuk Pickaxe Mountain, infrastruktur tenaga serta pemimpin tentera dan awam negara itu.

Sementara itu, kemenangan Parti Demokrat menguasai kedua-dua dewan Kongres dalam pilihan raya pertengahan penggal lalu susulan rasa tidak puas hati rakyat AS terhadap pengendalian perang dan kesan ekonomi turut merumitkan proses membuat keputusan Trump.

Beliau kini hanya mempunyai masa yang terhad untuk meneruskan tindakan ketenteraan sebelum barisan penggubal undang-undang Demokrat yang baharu mengangkat sumpah pada 3 Januari depan.

Mengulas laporan mengenai ancaman "bom kotor" (dirty bomb) di Washington dalam temu bual bersama Fox News, Trump meminta orang ramai agar tidak panik dan memberi amaran bahawa AS akan menghapuskan pihak yang terlibat sekiranya perkara itu berlaku.

Bagaimanapun, beliau mendakwa laporan perisikan menunjukkan Tehran berpotensi meneroka pembangunan senjata kimia dan biologi selepas kemudahan nuklearnya terjejas akibat serangan AS sebelum ini.

Kementerian Luar Iran bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terbaharu itu.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, menerusi hantaran di platform X menyifatkan tuduhan tersebut sebagai naratif palsu yang mengulangi skrip pencerobohan AS ke atas Iraq pada 2003 yang bersandarkan dakwaan pemilikan senjata pemusnah besar-besaran yang akhirnya terbukti tidak benar.

Must Watch Video

Advertisement