Skip to main content

Bisnes

Kawalan perdagangan AS tidak jejas pusat data Johor - YTL

YTL menafikan laporan media yang membayangkan pusat datanya membantu memindahkan unit pemprosesan grafik (GPU) Nvidia kepada pelanggan dari China dan menyifatkan laporan itu sebagai spekulatif serta tidak disokong bukti. -Foto YTL
YTL menafikan laporan media yang membayangkan pusat datanya membantu memindahkan unit pemprosesan grafik (GPU) Nvidia kepada pelanggan dari China dan menyifatkan laporan itu sebagai spekulatif serta tidak disokong bukti. -Foto YTL
Advertisement

KUALA LUMPUR: YTL Power International Berhad berkata kawalan perdagangan terbaharu Amerika Syarikat (AS) terhadap akses jarak jauh kepada cip semikonduktor termaju tidak menjejaskan perkhidmatan kolokasi di pusat datanya di Johor.

Dalam kenyataan pada Jumaat, syarikat itu menafikan laporan media yang membayangkan pusat datanya membantu memindahkan unit pemprosesan grafik (GPU) Nvidia kepada pelanggan dari China dan menyifatkan laporan berkenaan sebagai spekulatif serta tidak disokong bukti.

Menurut YTL, perkhidmatan kolokasinya merangkumi penyediaan ruang, bekalan elektrik, penyejukan dan sambungan rangkaian kepada pelanggan antarabangsa, termasuk pengendali infrastruktur pengkomputeran berskala besar dari AS.

Advertisement

Syarikat itu berkata perkhidmatan berkenaan mematuhi undang-undang Malaysia dan kawalan perdagangan AS.

Dalam pembangunan pusat datanya, YTL bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta mematuhi semua keperluan pelaporan dan import yang berkaitan.

Advertisement

YTL menjelaskan bahawa peraturan baharu AS itu memberi tumpuan kepada pengimport GPU serta penyedia perkhidmatan pengkomputeran untuk pelanggan dari negara dalam Kumpulan D:5.

Peraturan Addressing Remote Access to Advanced Semiconductors, yang dikeluarkan oleh Biro Industri dan Keselamatan (BIS) Jabatan Perdagangan AS, berkuat kuasa pada 19 November 2026.

Di bawah peraturan itu, eksport cip termaju tertentu ke Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Brazil memerlukan lesen.

Bagaimanapun, keperluan lesen berdasarkan destinasi itu tidak terpakai sekiranya penerima akhir atau pengguna akhir cip beribu pejabat di AS, atau syarikat induk muktamadnya berpangkalan di negara itu, tertakluk kepada pematuhan syarat pelaporan.

YTL berkata pihaknya kekal yakin permintaan terhadap infrastruktur kolokasi pusat data di Malaysia akan terus berkembang, didorong oleh permintaan global yang kukuh termasuk dari AS.

Sebelum ini, The Edge Malaysia memetik laporan The New York Times bertarikh 18 November yang mendakwa Speedmatrix mengendalikan cip Nvidia di pusat data YTL di Johor bagi pihak Alibaba, sekali gus membolehkan syarikat teknologi China itu mengakses cip berkenaan dari jarak jauh.

Must Watch Video

Advertisement