KUALA LUMPUR: Meskipun gambaran keseluruhan pertumbuhan ekonomi Asia dijangka bercampur-campur tahun ini, inflasi tidak dijangka menjejaskan prospek benua itu, kata Manulife Investment Management (Manulife IM).

Ketua Strategi Makro Asia Sue Trinh berkata, banyak yang perlu dilakukan oleh ekonomi di rantau itu untuk memulihkan semula kehilangan pengeluaran akibat daripada pandemik COVID-19.

"Kami berpandangan kebimbangan terbesar masih lagi permintaan pengguna yang rendah susulan pertumbuhan eksport yang lemah.

"Namun Asia dijangka berupaya menangani tekanan peningkatan harga. Prospek inflasi Asia yang sederhana disokong oleh satu faktor, lebihan perdagangan," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Trinh berkata sejak dua tahun lepas ekonomi-ekonomi di rantau ini dapat memaksimumkan pengeluaran eksportnya walaupun dalam keadaan pandemik.

"Pada masa yang sama, lonjakan permintaan terpendam di Asia selepas pembukaan semula ekonomi tidak sekukuh yang dicatatkan oleh rantau lain, terutamanya berbanding ekonomi pasaran sedang pesat membangun lain," katanya.

Beliau berkata satu lagi set data, iaitu kadar fret jarak jauh, juga menyokong pandangan Manulife IM bahawa tekanan inflasi di Asia dijangka lebih sederhana.

Menurutnya, Malaysia dan Singapura mungkin memulakan tahun ini pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang agak rendah namun berpotensi untuk memulihkan semula pengeluaran.

"Di Malaysia, kadar vaksinasi yang pantas dan perbelanjaan tinggi kerajaan menjelang pilihan raya akan datang, yang dijangkakan pada separuh kedua tahun ini, bakal menyokong permintaan domestik," katanya.

Keseluruhannya, Trinh berkata, gambaran ekonomi makro di Asia diunjur bercampur-campur tetapi persekitaran operasi dijangka lebih positif di ekonomi-ekonomi terpilih di rantau itu.

-- BERNAMA