KUALA LUMPUR: Kehadiran golongan muda yang mendominasi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 secara langsung menolak tanggapan bahawa masyarakat kini semakin kurang membaca, kata Pengerusi Pengelola PBAKL Mohd Khair Ngadiron.
Mohd Khair berkata lebih 60 peratus pengunjung pesta buku itu terdiri daripada golongan muda berusia di bawah 40 tahun, dengan purata kira-kira 200,000 pengunjung hadir setiap hari.
"Kehadiran golongan muda yang tinggi di PBAKL 2026 ini menolak tanggapan masyarakat kini semakin kurang membaca," katanya kepada Bernama di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Beliau berkata golongan muda bukan sahaja mendominasi jumlah pengunjung malah memainkan peranan penting sebagai pempamer dan penggiat industri buku.
Selain itu, beliau berkata pengaruh media sosial, pempengaruh dan selebriti yang menghasilkan karya penulisan menjadi antara faktor yang mendorong lebih ramai golongan muda mengunjungi PBAKL tahun ini.
Mohd Khair berkata platform seperti TikTok, Instagram dan Threads kini menjadi medium promosi yang berkesan dalam menarik minat generasi muda terhadap buku dan aktiviti berkaitan pembacaan.
"Generasi muda hari ini kreatif dan inovatif. Mereka bukan sahaja tertarik kepada buku, malah pelbagai aktiviti sampingan seperti 'merchandise', sesi bersama penulis dan program interaktif turut menjadi tarikan," katanya.
Mengulas trend bahan bacaan, beliau berkata novel kekal menjadi genre paling popular dalam kalangan pengunjung, diikuti buku motivasi, pembangunan diri, agama dan 'healing'.
PBAKL 2026 yang berlangsung di WTCKL merekodkan lebih 1.7 juta pengunjung setakat hari ketujuh penganjurannya, sekali gus menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas.
-- BERNAMA