KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima pemakluman rasmi mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata pemakluman itu diterima daripada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan Datuk M K Ibrahim Abd Rahman menerusi surat berhubung pembubaran Dewan Negeri ke-15 mengikut Fasal 56(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Berdasarkan Fasal 56(4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, pilihan raya umum negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata satu mesyuarat khas untuk membincangkan tarikh-tarikh penting pilihan raya negeri akan diadakan pada tarikh yang bakal dimaklumkan kemudian.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun pada sidang media khas di kediaman rasmi beliau malam tadi mengumumkan DUN Negeri Sembilan secara rasmi dibubarkan hari ini untuk memberikan laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Aminuddin berkata pembubaran itu dibuat selepas beliau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada majlis menghadap yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti.
-- BERNAMA