KUALA LUMPUR: Inisiatif Cashless Society yang dilancarkan pada 2023 di 28 Pusat Ekonomi Digital (NADI) kini diperluaskan ke 174 lokasi di seluruh negara setakat tahun 2025, dalam usaha mempercepat penerimagunaan teknologi digital di peringkat akar umbi.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), peluasan itu mencerminkan komitmen berterusan agensi berkenaan dalam memperkasa komuniti digital serta meningkatkan penggunaan transaksi tanpa tunai dalam kalangan masyarakat.
Advertisement
“Pada 2025, inisiatif ini diperkasakan dengan elemen keselamatan Internet selaras dengan Kempen Internet Selamat serta pembangunan kapasiti komuniti melalui program Train-the-Trainer dalam kalangan Pengurus NADI, di samping meningkatkan kesedaran mengenai risiko dan penipuan dalam talian selaras dengan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA),” kata MCMC dalam kenyataan, pada Jumaat.
MCMC berkata, pendekatan pembayaran tanpa tunai digunakan sebagai pintu masuk kepada perkhidmatan digital yang lebih luas, selain memanfaatkan peluasan liputan serta peningkatan kualiti Internet di bawah pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
"Langkah itu bertujuan memastikan komuniti, termasuk di kawasan luar bandar dan terpencil, mampu mengakses serta memanfaatkan teknologi digital secara optimum.
“Bagi tempoh antara tahun 2023 sehingga 2025, inisiatif Cashless Society telah berjaya menarik penglibatan seramai 62,574 pengunjung, menghasilkan 26,022 transaksi tanpa tunai, melibatkan 4,572 pedagang digital baharu di premis digital serta melaksanakan 1,348 aktiviti kesedaran berasaskan empat tonggak Cashless Society,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, MCMC turut menganjurkan sesi meja bulat di Cyberjaya baru-baru ini yang menghimpunkan wakil agensi Persekutuan dan Negeri, pemain industri serta komuniti bagi membincangkan usaha memperkukuh kepercayaan digital serta memperluas pelaksanaan inisiatif tersebut di Melaka, Johor dan Wilayah Persekutuan.