BISNES
INSKEN anjur Seminar Usahawan MADANI, pupuk kesedaran bisnes berilmu

INSKEN berkolaborasi bersama YPU, Maidam, Ketengah, Perkeso, Perhebat dan Sabasun HyperRuncit Sdn. Bhd menganjurkan SUM:PPS edisi Terengganu pada 6 Ogos - Foto/INSKEN
KUALA LUMPUR: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) terus memperkasa usahawan Terengganu menerusi inisiatif Seminar Usahawan MADANI: Pembangunan Produk dan Servis (SUM:PPS) yang diadakan di Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu Rabu lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Viviantie Sarjuni, antara perkongsian seminar itu adalah untuk melawan stigma bahawa ilmu pembangunan produk atau servis adalah sia-sia, dan usahawan hanya perlu pandai menjual.
"Namun tanpa ilmu, ramai usahawan berdepan risiko membazirkan masa, tenaga dan wang pada sesuatu yang sukar untuk dijual dan dipasarkan.
"Melalui inisiatif seperti SUM:PPS, INSKEN menyediakan platform untuk membantu usahawan menilai idea mereka secara lebih objektif dan strategik."Usahawan perlu melangkaui sekadar minat atau andaian. Namun mereka perlu berfikir secara kritikal, menyesuaikan tawaran mengikut keperluan sebenar pasaran, dan berani menerima pandangan daripada pakar industri agar produk atau servis yang dibangunkan benar-benar relevan dan berdaya saing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Viviantie turut mengalu-alukan penglibatan lebih banyak rakan strategik daripada sektor kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berganding bahu menjayakan inisiatif pembangunan keusahawanan demi memberi manfaat yang lebih meluas kepada para usahawan di seluruh negara.
Seminar sehari itu memberi fokus kepada pelbagai topik penting seperti teknik membangunkan produk dan servis, analisis pasaran, enam fasa pembangunan produk dan servis, serta pengiraan kos.
Kesemua topik tersebut dirangka khusus untuk membantu para usahawan membina asas pembangunan produk dan perkhidmatan yang kukuh, seterusnya kekal kompetitif di pasaran, meningkatkan hasil jualan, dan memastikan kelangsungan perniagaan dalam jangka masa panjang.
Selain pengisian teori, seminar itu turut menyediakan ruang praktikal kepada 30 usahawan terpilih yang berpeluang menjalani sesi penilaian produk dan servis secara langsung bersama jurulatih dan pemain industri.
Ia hasil kolaborasi strategik bersama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Sabasun HyperRuncit Sdn. Bhd., Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), serta Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).
Setakat ini, penganjuran SUM:PPS berjaya menarik lebih 4,000 peserta dari seluruh negara melalui 10 siri seminar yang dilaksanakan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami