Skip to main content

Malaysia

Komando parah: Dua anggota tentera Kem Iskandar ditahan bantu siasatan

JOHOR BAHRU, 29 April -- Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini mengenai kes seorang ahli perniagaan yang cedera selepas dipercayai tertembak diri sendiri di bahagian dada.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata kedua-dua suspek dari kem sama yang berusia 24 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing kira-kira 11.45 pada 14 Mac lepas. - Foto BERNAMA

MERSING: Polis menahan dua anggota tentera bagi membantu siasatan kes seorang anggota tentera cedera parah termasuk retak tengkorak dalam kejadian di Kem Iskandar di sini.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata kedua-dua suspek dari kem sama yang berusia 24 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing kira-kira 11.45 pada 14 Mac lepas. 

Advertisement

"Kita turut merampas sebatang rotan sepanjang kira-kira 72 sentimeter yang disyaki digunakan sebagai senjata," katanya dalam kenyataan, di sini malam ini.

Ab Rahaman berkata hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga mendapati mereka negatif dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, dan kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri pada Rabu lepas bagi mendapat arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara.

"Pada masa sama, orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan," katanya.

Mangsa yang berusia 25 tahun itu, kini dirawat di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Terdahulu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tindakan sewajarnya terhadap anggota yang terlibat akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa.

Media sebelum ini melaporkan mangsa, Abdul Hamid Talib, 25, yang berasal dari Bum Bum, Semporna, Sabah dan bertugas di Rejimen 22 Komando di kem berkenaan kini tidak mampu bercakap, serta terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video