KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberi jaminan keselamatan pengunjung pada Festival Muzik Air Rain Rave 2026 termasuk kawalan ketat oleh pihak berkuasa.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata polis dan agensi penguat kuasa sentiasa memantau ketenteraman awam di lokasi penganjuran dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang.
Advertisement
“Kita menganjurkan program ini untuk rakyat, jadi keselamatan pelancong dan penduduk tempatan yang hadir memang terjamin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Festival Muzik Air Rain Rave 2026 di sini hari ini.
Tiong berkata penganjuran acara dari hari ini hingga Sabtu bersempena sambutan Hari Pekerja itu langkah strategik bagi memacu ekonomi tempatan termasuk golongan peniaga.
“Program seperti ini bukan sekadar menawarkan ruang riadah kepada orang awam malah berfungsi mempromosikan keunikan makanan dan persembahan budaya tempatan kepada pelancong asing,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata 500 pegawai serta anggota termasuk bantuan daripada Bukit Aman dan seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kuala Lumpur ditempatkan di pelbagai lokasi strategik bagi mengawal ketenteraman awam serta memastikan kelancaran festival itu.
Sementara itu, menyentuh impak krisis bekalan global, Tiong berkata sektor pelancongan negara masih berada pada trajektori yang kukuh.
Walaupun terdapat sedikit penurunan kemasukan pelancong dari Asia Barat, beliau berkata angka keseluruhan ketibaan pelancong asing ke Malaysia masih meningkat berikutan lonjakan dari negara ASEAN dan Eropah.
-- BERNAMA