KUALA NERUS: Institusi kewangan tidak boleh lagi melihat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) sekadar sebagai naratif korporat atau keperluan pelaporan tahunan semata-mata, sebaliknya perlu memainkan peranan lebih besar dalam membentuk pembangunan ekonomi yang mampan.
Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali berkata, peranan institusi kewangan pada masa kini bukan hanya tertumpu kepada aspek keuntungan, tetapi juga memastikan setiap keputusan dan aktiviti perniagaan memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar.
"ESG itu bukan satu naratif, bukan satu cerita dan bukan satu yang ditakrifkan daripada laporan korporat setiap tahun. Dia sebenarnya lebih daripada itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program ESG Global Young Leaders Summit 2026 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang bertemakan "Mobilizing Young Leaders as Catalyst for Blue Justice."
Menurut Adissadikin, meskipun keuntungan menjadi asas kepada operasi sesebuah organisasi, pendekatan yang hanya menumpukan kepada keuntungan jangka pendek tanpa mengambil kira kesan terhadap masyarakat dan alam sekitar akan menghasilkan pembangunan yang tidak mampan.
"Kalau kita dapat keuntungan sebanyak mungkin dan secepat mungkin, tetapi ia memberi kesan negatif jangka panjang kepada masyarakat dan alam, ia akan membawa kepada satu kemajuan yang tidak mampan," ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan, kesedaran mengenai ESG perlu bermula di peringkat individu, khususnya dalam kalangan generasi muda yang bakal menjadi pemimpin dan pembuat keputusan pada masa hadapan.
Beliau merumuskan ESG sebagai konsep yang berpaksikan kepada tiga komponen utama iaitu People, Planet dan Profit, dan menekankan bahawa ketiga-tiga elemen tersebut perlu bergerak seiring.
"ESG memang sepatutnya kesedaran di setiap individu. Ia bermula daripada individu. Pelajar-pelajar hari ini ialah pemimpin masa depan yang akan membawa hala tuju organisasi dan korporat pada masa akan datang," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau berkata, institusi kewangan perlu terus memainkan peranan menyebarkan kesedaran mengenai ESG kepada pelanggan termasuk golongan mahasiswa bagi memastikan pembangunan ekonomi yang lebih lestari dapat diteruskan pada masa hadapan.